RM100,000 sehari hasil duit penipuan judi dalam talian
PUTRAJAYA - Duit keuntungan penipuan dalam talian membolehkan sindiket judi dari luar negara hidup mewah dan beroperasi dalam kondominium mewah yang mencecah sewa bulanan sebanyak RM25,000.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysa (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, kumpulan sindiket didalangi warga China itu dipercayai mampu menjana pendapatan sebanyak RM100,000 sehari dan mencapai RM3 juta sebulan.
Beliau berkata, hasil aduan dan risikan dilakukan selama dua minggu, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket tersebut apabila menyerbu dua premis di Bangsar, Kuala Lumpur dan Ampang, Selangor jam 4 petang, Khamis.
"Seorang lelaki warga China berusia 39 tahun ditahan kerana dipercayai ketua sindiket, manakala lapan lagi lelaki warganegara sama ditahan sebagai operator perjudian.
"Kesemua mereka yang ditahan berusia 25 hingga 39 tahun memiliki pas lawatan sosial (PLS) dan pas khas yang masih sah laku untuk berada di negara ini," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Hadir sama Pengarah Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Putrajaya, Basri Othman.
Mengulas lanjut, Jafri berkata, lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia 19 hingga 25 tahun yang berada di premis berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM18,000, sembilan pasport China, monitor (11 unit), komputer (5), komputer riba (15), telefon bimbit (33), router WiFi (6) serta sebuah Toyota Alphard.
Ditanya mengenai modus operandi sindiket itu, Jafri berkata, suspek mempromosikan perjudian dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp kepada kumpulan pelanggan di luar negara seperti Australia, Hong Kong serta China.
"Pelanggan yang bersetuju untuk membuat pertaruhan akan diberikan pautan dan kita percaya sindiket ini telah beroperasi selama enam bulan di negara ini," ujarnya.