4,000 penyertaan dari seluruh negara

Ipoh 7 Bridges Run 2023 promosi keunikan Perak

A
A
A

Sebahagian peserta yang menyertai ACARA Ipoh 7 Bridges Run edisi sebelum ini.
Sebahagian peserta yang menyertai ACARA Ipoh 7 Bridges Run edisi sebelum ini.

IPOH - Penganjuran Ipoh 7 Bridges Run bukan sahaja menarik minat para penggiat sukan larian tetapi turut memberikan pengalaman bermakna kepada mereka untuk melihat keindahan serta keunikan yang terdapat di bandar raya Ipoh.

Dimulakan sejak tahun 2016, Ipoh 7 Bridges Run sudah menjadi acara sinonim bagi warga Perak yang mana ia melibatkan larian merentasi tujuh buah jambatan serta tempat-tempat menarik di sekitar bandar raya itu.

Pengarah Perlumbaan Ipoh 7 Bridges Run, Muhammad Fikri Amiruddin berkata, larian merupakan acara tahunan dan telah menjadi antara senarai acara penting dalam kalendar pelancongan negeri Perak.

“Bagi edisi tahun 2023 ini, kita menerima penyertaan lebih 4,000 peserta dari seluruh negara merangkumi tiga kategori iaitu 5km (kilometer), 10km dan 21km dan ia diadakan bersekali dengan program Karnival Mesra Anak Muda (KAMU) yang berlangsung 15 hingga 17 September ini di Stadium Indera Mulia,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, Ipoh 7 Bridges Run akan bermula pada Ahad di Stadium Indera Mulia, di sini dan para peserta akan melalui beberapa tempat seperti Dewan Bandaran, Bangunan Mahkamah Tinggi, Stesen Kereta Api Ipoh, Pekan Lama dan beberapa lokasi lain.

“Acara ini mendapat sokongan daripada kerajaan negeri Perak dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mana ia turut bertepatan dengan Tahun Melawat Perak 2024. Malahan, kita yakin ia mampu merancakkan lagi ekonomi negeri Perak yang memiliki banyak tempat-tempat pelancongan serta kepelbagaian biodiversiti yang menarik,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Sementara itu, seorang peserta, Shahrul Ihsan Abdullah, 37, memberitahu bahawa dia telah menyertai acara itu sejak edisi pertama pada tujuh tahun lalu dan menikmati keindahan yang ada di sekitar bandar raya Ipoh.

“Tahun ini saya sertai kategori 21km. Saya bukan sahaja dapat uji keupayaan saya, tetapi dapat melihat serta menghargai persekitaran yang menarik di sekeliling,” katanya.

Pandangan yang sama turut dikongsi Muhammad Nur Zikri Azamuddin Azman, 27, yang mana dia mengakui acara Ipoh 7 Bridges Run memang dinanti-nantikan bersama rakan-rakan lain yang tinggal di luar negeri Perak..

Menurutnya, kebanyakan peserta menyukai acara itu disebabkan laluan larian yang menarik selain sesuai untuk menguji catatan masa terbaik masing-masing.

Sebagai rekod, penganjuran Ipoh 7 Bridges Run adalah selari dengan pelaksanaan Pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Program Flagship Ke-10: Ekonomi Pengalaman yang telah digagaskan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.