Jenayah komersial rekod kerugian RM14.3 bilion

Ramli (dua dari kanan) menunjukkan statistik kes jenayah komersial.
Ramli (dua dari kanan) menunjukkan statistik kes jenayah komersial.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 156,029 pelbagai kes jenayah komersial dengan nilai kerugian kira-kira RM14.33 bilion sejak 2019 hingga 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah itu melibatkan RM6.21 bilion pada tahun 2019, RM2.06 bilion (2020), RM2.2 bilion (2021), RM1.73 bilion (2022) dan RM2.11 bilion pada tahun lalu.

"Walaupun nilai kerugian dilihat menurun, namun jumlah kes dicatatkan pada tahun lalu dilihat meningkat secara ketara iaitu 53.2 peratus berbanding lima tahun sebelumnya," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Ramli berkata, sebanyak 26,330 kes direkodkan pada 2019, 27,323 kes (2020), 31,490 kes untuk 2021 dan 30,536 kes pada 2022.

Beliau berkata, bagi sepanjang tahun lalu, sebanyak 40,350 kertas siasatan telah direkodkan bagi jumlah kerugian kira-kira RM2.11 bilion.

"Daripada jumlah terbabit, kira-kira 89.3 peratus melibatkan kes tipu iaitu 36,030 dengan kerugian RM1.68 bilion.

"Sebanyak 1,215 kes melibatkan kes pecah amanah jenayah dengan kerugian RM380.37 juta, 47 kes salah guna kuasa (RM2.54 juta); 867 kes jenayah siber (RM35.6 juta) dan 138 kes pemalsuan (RM6.87 juta).

“Sebanyak 970 kes wang palsu melibatkan kerugian kira-kira RM385,467, 994 kes ahlong (RM5.47 juta) serta lain-lain (RM803,398)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 34,497 kes penipuan dalam talian melibatkan pelbagai jenayah scam dengan kerugian RM1.28 bilion)

“Antaranya jenayah e-dagang (11,473 kes) dengan kerugian RM204 juta, 10,348 kes jenayah telekomunikasi (RM353.02 juta) dan kira-kira 5,386 kes pelaburan tidak wujud dengan kerugian sebanyak (RM472.1 juta).

“Kita turut merekodkan sebanyak 4,263 kes pinjaman tidak wujud (RM40.73) juta, jenayah e- kewangan (2,092) kes dengan kerugian RM105 juta) manakala 935 kes love scam (RM43.92 juta),” katanya.

Dalam pada itu, Ramli berkata, sebanyak 18,221 operasi dan serbuan sepanjang tahun lalu dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh itu, seramai 22,911 individu turut berjaya ditahan dalam kesemua serbuan yang dilaksanakan,” katanya.