Polis tubuh pasukan khas siasat, buru dua suspek kes tembak di Sibu

Klip video dari rakaman sebuah CCTV mengenai kejadian itu tersebar luas di laman media sejak malam tadi.
Klip video dari rakaman sebuah CCTV mengenai kejadian itu tersebar luas di laman media sejak malam tadi.
A
A
A

SIBU - Polis sedang memburu dua suspek yang melepaskan tembakan dalam sebuah kedai kopi di Jalan Wong King Huo di sini semalam, mengakibatkan tiga lelaki berumur antara 27 dan 33 tahun cedera.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki pada jam 5.41 petang yang memaklumkan mengenai kejadian dua suspek bertopi keledar yang tiba di kedai kopi itu pada jam 4.55 petang dengan dua motosikal, dan melepaskan beberapa tembakan.

Beliau berkata, seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat, manakala seorang lagi dari jarak kira-kira 20 meter daripada sasaran, dan siasatan awal polis menemukan 10 kelongsong peluru 9mm di sekitar kawasan kedai itu.

"Ketiga-tiga lelaki yang cedera telah dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta dan keadaan mereka stabil,” katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Menurutnya, mangsa pertama mengalami kecederaan pada kedua-dua bahagian paha serta kaki kanan, manakala dua rakannya masing-masing terkena tembakan pada bahagian bahagian bahu kiri dan kanan.

Zulkipli berkata, polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat insiden itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Beliau seterusnya menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintenden Mingat Bakil dengan menelefon 019-8867978, atau hubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu satu klip video dari rakaman sebuah CCTV mengenai kejadian itu tersebar luas di laman media sejak malam tadi, yang menunjukkan salah seorang daripada suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal penghantar makanan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!