Wajibkan dashcam pada semua kenderaan

Apabila semua kenderaan mempunyai dashcam, ia umpama CCTV yang memantau pergerakan bukan sahaja pengguna jalan raya, malah orang atau kejadian di sekelilingnya.
Apabila semua kenderaan mempunyai dashcam, ia umpama CCTV yang memantau pergerakan bukan sahaja pengguna jalan raya, malah orang atau kejadian di sekelilingnya.
A
A
A

DISEMBER lepas negara dikejutkan dengan dua kes kematian tragis melibatkan seorang kanak-kanak autisme yang mati dibunuh dan seorang pelajar sekolah meninggal dunia selepas motosikal ditunggang dilanggar sebuah kereta dipandu pegawai kanan polis.

Dalam siasatan kedua-dua kes berkenaan, polis telah meminta saksi yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) atau kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian supaya tampil membantu siasatan.

Malah dalam insiden pelajar dilanggar pegawai kanan polis di Ipoh, Perak, ada individu sanggup menawarkan ganjaran RM5,000 kepada mana-mana pihak yang mempunyai bukti rakaman dashcam kejadian itu.

Jelas dashcam kini satu keperluan yang penting kerana boleh dijadikan sebagai saksi atau bukti jika berlaku sesuatu perkara tidak diingini terhadap kenderaan sendiri atau orang lain.

Tambahan, dengan banyaknya kemalangan berlaku hari ini, yang disebabkan oleh sikap segelintir pemandu yang tidak bertanggungjawab, dashcam sepatutnya menjadi peranti wajib ada pada semua jenis kenderaan.

Bukti rakaman membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah jalan raya.

Seperti kes empat penunggang motosikal didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh baru-baru ini atas kesalahan menunggang secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

Ia selepas tular di media sosial klip video yang mempamerkan aksi 'Superman' mereka yang berakhir dengan kemalangan pada 24 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Penggunaan dashcam di dalam kenderaan juga penting bagi merekod sebarang jenis kejadian jenayah seperti kes buli di jalan jalan raya, pemanduan di bawah pengaruh alkohol ataupun dadah, serangan fizikal dan lain-lain lagi.

Terbaharu dalam kejadian di Klang, Selangor, kamera papan pemuka daripada sebuah kenderaan berjaya merakam insiden seorang ejen hartanah disamun dua penjenayah bersenjatakan parang dan kayu besbol ketika berada dalam keretanya di jalan yang sesak.

Hampir setiap hari sebenarnya kita disajikan dengan klip-klip video daripada dashcam yang memaparkan kejadian jenayah dan kesalahan dilakukan pengguna jalan raya sehingga menyebabkan kemalangan.

Justeru, pihak kerajaan perlu mempertimbangkan semula untuk mewajibkan penggunaan dashcam pada semua jenis kenderaan di negara ini sebagai langkah keselamatan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sendiri mengakui pemasangan dashcam berupaya merakam dan menjadi bahan bukti bagi kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna jalan raya.

Namun pihaknya hanya menggalakkan pemasangan peranti tersebut di setiap kenderaan, tetapi perkara itu tidak diwajibkan.

Dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, penulis berpendapat cadangan tersebut wajar dikaji semula kerana penggunaan dashcam dapat mengingatkan rakyat tentang undang-undang dan menggalakkan tingkah laku pemanduan yang lebih berhemah.

Penggunaan dashcam juga dapat membantu mencegah aktiviti jenayah yang berlaku di sekeliling kita. Orang akan berfikir banyak kali sebelum mereka melakukan jenayah kerana bimbang perbuatan mereka dirakam.

Apabila semua kenderaan mempunyai dashcam, ia umpama CCTV yang memantau pergerakan bukan sahaja pengguna jalan raya, malah orang atau kejadian di sekelilingnya.

Buat permulaan, rakyat mungkin terpaksa mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk pemasangan peranti tersebut di kenderaan masing-masing, namun tidak salah kita mengambil inisiatif tersebut demi keselamatan.

Lagi pula ketika ini sudah banyak peranti tersebut yang dijual dengan harga berpatutan bergantung kepada spesifikasi dashcam.

Untuk mengurangkan beban rakyat, kerajaan mungkin boleh membantu dari segi pemberian subsidi seperti mana yang diberikan untuk pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak sebelum ini.

* Siti Hazira Hamdan ialah Editor Pengisian Sinar Harian