Kanak-kanak maut nahas dua kenderaan

Nahas membabitkan kereta Perodua Kancil dan Perodua Alza di kilometer 323.4 kira kira jam 8 malam pada Isnin. - Foto Awani
Nahas membabitkan kereta Perodua Kancil dan Perodua Alza di kilometer 323.4 kira kira jam 8 malam pada Isnin. - Foto Awani
A
A
A

KEMAMAN - Seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun lapan bulan maut dalam kemalangan berhampiran susur keluar Plaza Tol Kerteh, Lebuhraya Pantai Timur (LPT2).

Nahas membabitkan kereta Perodua Kancil dan Perodua Alza di kilometer 323.4 kira kira jam 8 malam pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa, Nur Afiah Sumayyah Mohammad Sulaiman disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Dungun pada jam 9.40 malam.

Menurut Hanyan, ketika kejadian mangsa bersama bapa, nenek dan tiga adik-beradiknya yang menaiki Perodua Kancil dalam perjalanan dari Bandar Cheneh Baru menghala ke Setiu.

Setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu bapanya menukar haluan ke lorong kanan secara tiba-tiba kerana laluan kiri ditutup akibat jalan rosak.

Kenderaan Perodua Alza yang datang dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar bahagian kanan belakang kereta terbabit lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar besi penghadang jalan.

Abang mangsa patah kaki kiri manakala empat yang lain serta pemandu Perodua Alza tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Aeksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- Awani