Pengkhianat jual minyak masak subsidi ke negara jiran

Isu penyeludupan minyak masak peket bersubsidi Malaysia ke negara jiran khususnya Thailand bagaikan tiada kesudahan. Gambar hiasan
Isu penyeludupan minyak masak peket bersubsidi Malaysia ke negara jiran khususnya Thailand bagaikan tiada kesudahan. Gambar hiasan
A
A
A

ISU penyeludupan minyak masak peket bersubsidi Malaysia ke negara jiran khususnya Thailand bagaikan tiada kesudahan.

Terbaharu, seorang peguam, Majdah Muhamad yang berkesempatan melawat negara itu baru-baru ini berkongsi kisah bagaimana barang kawalan tersebut masih dijual secara terbuka kepada manamana pelanggan.

Walaupun dijual dengan harga RM5 dan lebih tinggi berbanding di negara ini iaitu RM2.50 bagi setiap kilogram, namun harganya masih murah jika dibandingkan harga minyak masak tempatan di negara berkenaan.

Sudah pasti ia mendapat permintaan dan pilihan bagi rakyat Thailand khususnya di kawasan bersempadan dengan Malaysia.

Dalangnya pasti mereka yang mempunyai akses untuk mendapatkan bahan keperluan itu dalam jumlah besar dan hanya mahukan keuntungan tanpa memikirkan kesan kewangan kepada kerajaan serta keperluan rakyat tempatan.

Sinar Harian sebelum ini pernah mendedahkan bahawa ada rakyat Thailand mengakui telah menggunakan minyak masak peket bersubsidi Malaysia sejak 30 tahun lamanya.

Ia realiti yang berlaku sejak sekian lama kerana barang kawalan itu agak sukar ditemui dalam negara sehingga ramai mengeluh dan jika ada pun pembelian dihadkan.

Bagaimanapun berlaku lambakan pula di negara jiran dengan tidak ada syarat sebanyak mana mahu dibeli.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya kuota 60,000 tan metrik bagi minyak masak bersubsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan cukup bagi kegunaan rakyat terutama bagi pengguna domestik dan peniaga kecil.

Akan tetapi tangan-tangan tidak bertanggungjawab telah menafikan hak pengguna di negara ini selain membiarkan wang kerajaan dinikmati mereka tidak sepatutnya.

Berdasarkan data pada Februari tahun lalu, sebanyak 2,898 kes berkaitan minyak masak telah disiasat dan 13 pendakwaan telah dibuat.

Mungkin mereka yang melakukan kesalahan berkaitan penyelewengan minyak bersubsidi ini berasakan denda atau hukuman tidak berat sekiranya didapati bersalah menyebabkan tidak ada rasa takut dan ia terus dilakukan.

Hukuman lebih berat wajar dikenakan kepada pesalah kerana telah mengkhianati negara dan rakyat. Jika hukuman denda tidak menakutkan pengkhianat ini, hukuman penjara yang panjang berserta sebat wajar diperkenalkan.