Perjanjian bekalan air terawat tidak dilaksana tahun ini - Saarani

Saarani (tengah) hadir merasmikan Seminar dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Saarani (tengah) hadir merasmikan Seminar dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Perjanjian bagi pembekalan air terawat kepada kerajaan Pulau Pinang mungkin tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun ini, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata, masih banyak perkara yang perlu diberi penelitian oleh kerajaan negeri terutama yang melibatkan peruntukan dan kelulusan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

"Kalau ikut kehendak kita lagi cepat lagi baguslah, tetapi ada banyak lagi proses yang perlu dilalui.

"Kalau kita nak buat perjanjian sekarang based on what.

"Tak boleh, sebab nanti isu tarif dan harga pun akan ditentukan oleh kementerian, bukan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat.

November lalu, kerajaan Perak bersetuju menjual air terawat kepada Pulau Pinang menerusi Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) selepas perbincangan antara kedua-dua Setiausaha Kerajaan Negeri mencapai kata sepakat.

Artikel Berkaitan:

Saarani (kanan) meraikan penjawat awam Perak sempena Seminar dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Saarani (kanan) meraikan penjawat awam Perak sempena Seminar dan Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.

Sebuah jawatankuasa bersama turut ditubuhkan kedua-dua kerajaan negeri untuk mengkaji segala kos sebelum proses memohon peruntukan daripada kementerian bagi pembinaan loji rawatan air di daerah Kerian.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, proses perjanjian pembekalan air itu adalah bergantung kepada sejauh mana keberkesanan jawatankuasa itu dapat meyakinkan kementerian untuk meluluskan peruntukan bagi pembinaan loji rawatan air.

"Tanpa kelulusan peruntukan itu, tak ada perjanjian boleh dibuat.

"Sebab itu saya jangkakan tahun ini belum lagi terlaksana, apatah lagi ini akan melibatkan pembangunan dan pembinaan," katanya.

Mengulas mengenai permintaan Pulau Pinang yang mahu penggunaan 700 juta liter air sehari, beliau menjelaskan, perkara itu bergantung kepada kecukupan keperluan domestik.

"Walaupun pada asasnya kita bersetuju untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang, tetapi masih tertakluk kepada kecukupan rakyat Perak. Kalau keperluan kita pun tidak cukup air, macam mana mahu jual pada orang," katanya.

Pada Rabu, media melaporkan kerajaan Pulau Pinang mahu proses menandatangani perjanjian dengan Perak dilaksanakan dalam masa terdekat bagi tujuan pembekalan air.

Harapan itu disuarakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow susulan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari kepada kira-kira 590,000 penduduk disebabkan kerja pembaikan di Loji Rawatan (LRA) Sungai Dua bermula 10 hingga 14 Januari depan.