Gangguan bekalan air: Majoriti kilang di Pulau Pinang tutup dua hari

Majoriti pemilik kilang di Pulau Pinang akan menutup operasi premis mereka sekurang-kurangnya dua hari sepanjang tempoh gangguan bekalan air di negeri bermula 10 Januari ini. Gambar hiasan Bernama (Gambar kecil: Teong Li)
Majoriti pemilik kilang di Pulau Pinang akan menutup operasi premis mereka sekurang-kurangnya dua hari sepanjang tempoh gangguan bekalan air di negeri bermula 10 Januari ini. Gambar hiasan Bernama (Gambar kecil: Teong Li)
A
A
A

GEORGE TOWN - Majoriti pemilik kilang di Pulau Pinang akan menutup operasi premis mereka sekurang-kurangnya dua hari sepanjang tempoh gangguan bekalan air di negeri bermula 10 Januari ini.

Pengerusi Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Cawangan Pulau Pinang, Datuk Seri Lee Teong Li berkata, melalui bancian yang dijalankan, kebanyakan kilang terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menutup operasi pada hari pertama dan kedua ketika gangguan berkenaan.

Menurutnya, kilang tersebut akan melaksanakan 'shut down' untuk tempoh dua hari berkenaan manakala berada dalam mod 'standby' pada hari ketiga.

"Jumlah kilang itu kita peroleh melalui bancian dan maklum balas yang diterima daripada pemilik-pemilik kilang tersebut yang juga ahli FMM. Mereka akan hentikan operasi dua hari manakala hari ketiga dalam mod 'standby' kerana kita akan lihat sama ada bekalan air sudah pulih atau sebaliknya.

"Ini kerana kebanyakan ahli FMM melibatkan kilang dalam industri makanan, 'metal fabrication', 'metal polishing' dan lain-lain yang memerlukan air yang banyak ketika beroperasi.

''Ada juga ahli FMM yang terdiri daripada kilang-kilang 'electrical', kilang 'mix chemical'," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Teong Li berkata, langkah penutupan operasi kilang-kilang itu tidak dapat dielakkan kerana majoriti kilang menggunakan air yang banyak ketika beroperasi setiap hari.

"Kalau kilang proses bahan makanan, sudah pasti guna air yang banyak dalam operasi mereka.

Artikel Berkaitan:

"Kilang buat 'plating' kena juga gunakan air untuk proses pembersihan, kalau kilang hasilkan air minuman sama juga, air kena masuk ke kilang dan mereka tidak boleh beroperasi jika tiada air," katanya.

Ditanya mengenai kerugian, beliau berkata, setiap pemberhentian operasi akan menyebabkan kerugian berikutan pengilang tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Selepas penutupan, pengilang perlu melaksanakan kerja lebih masa untuk menggantikan semula kerja-kerja yang perlu dijalankan semasa tempoh 'shut down'.

"Walaupun setiap kilang perlu mempunyai simpanan air untuk 48 jam, tetapi itu bukan untuk penggunaan operasi kilang tetapi untuk kegunaan lain seperti tandas.

"Oleh itu, saya berharap agar kerja membaik pulih paip utama akan dapat dibuat dengan segera bagi membolehkan bekalan air kembali seperti biasa," katanya.

Sebelum ini, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengumumkan sebanyak 590,000 akaun pengguna bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 10 hingga 14 Januari ini.

Gangguan tersebut akan berlaku selama lima hari untuk membolehkan PBAPP menjalankan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Kerja pembaikan paip tersebut melibatkan penggantian dua unit injap kawalan utama sebesar 1,200 milimeter (mm) dalam saluran paip air terawat utama dalam LRA yang bocor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!