[VIDEO] PADU sebagai langkah reformasi kawal perbelanjaan, tingkatkan hasil negara

A
A
A

SHAH ALAM - Pangkalan Data Utama (PADU) merupakan tindakan reformasi untuk mengawal perbelanjaan dan meningkatkan hasil terhadap ekonomi negara yang semakin mencabar.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perbelanjaan subsidi yang tidak dikawal akan memberi kesan kepada hutang negara.

“Ia perlu ditangani segera untuk mengelakkan status negara menua akan memberi tekanan kepada peningkatan perbelanjaan kerajaan khususnya daripada segi pemberian bantuan dan perlindungan sosial.

“Seperti semua sedia maklum, isu-isu ketirisan dan ketidakcekapan perbelanjaan kerajaan, termasuk pengagihan subsidi dan bantuan masih berterusan.

“Kaedah yang dilaksanakan sekarang dilihat masih mempunyai ruang untuk diperbaiki dengan lebih baik bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia (yang layak) menerima manfaat daripada subsidi dan bantuan,” katanya ketika berucap di Majlis Peluncuran Data Utama (PADU) pada Selasa.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu termasuk orang ramai.

Menurut Rafizi, kerajaan perlu mengambil langkah berani dengan beralih kepada penyasaran semula subsidi walaupun ia akan memberi kos politik yang tinggi kepada pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, sistem PADU adalah sebahagian daripada tindakan proaktif dan responsif yang dilaksanakan oleh kerajaan, sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani iaitu untuk Memperkasa Rakyat.

“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada usaha untuk menstruktur semula ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan akhirnya memberi limpahan hasil kepada rakyat untuk menikmati kehidupan yang lebih bermutu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menteri kerana telah memberi kepercayaan kepada kami untuk membangunkan PADU.

“Mungkin nampak ia hanya satu pangkalan data tetapi perkara ini menjadi cabaran yang cukup besar kepada semua agensi kerajaan kerana untuk mengatur dan mendapat persetujuan bukan mudah, kecuali perkara itu datang daripada Perdana Menteri dan disokong oleh Jemaah Menteri,” jelas Rafizi.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pembangunan sistem tersebut merupakan sebahagian daripada usaha ke arah Govtech melalui penyediaan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan ‘near real time’ yang membolehkan analitik data lebih tepat dihasilkan.

“PADU juga menyokong tiga aspek utama yang diberi penekanan dalam Govtech, iaitu perkhidmatan awam mudah diakses dan berpaksikan rakyat, transformasi kerajaan digital serta sistem kerajaan yang cekap, telus dan tidak rumit.

“Ketersediaan PADU akan membantu penggubalan dasar dan proses pembuatan dasar berpandukan data dan harapan saya ia akan menjadi satu lonjakan untuk kita meningkatkan martabat perkhidmatan awam negara dan kerajaan kepada seluruh rakyat,” ujarnya.

Jelas Rafizi, sistem berkenaan merangkumi profil individu yang mengandungi maklumat asas demografi, alamat, pendidikan, isi rumah, pekerjaan, pendapatan, komitmen dan bantuan yang diterima.

Katanya, sebahagian daripada data ini telah dibekalkan oleh pelbagai kementerian dan agensi yang diintegrasikan ke dalam sistem tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kementerian dan agensi yang telah membekalkan maklumat dan data dan berharap semoga lebih banyak kementerian dan agensi memberikan kerjasama dalam membekalkan maklumat dan data kepada PADU pada masa hadapan.

“Walaupun pelbagai maklumat telah diintegrasikan dalam sistem PADU, masih terdapat maklumat yang perlu dikemas kini oleh setiap individu yang melibatkan 39 variabel yang akan menjamin kesahihan maklumat dan data serta menggambarkan status terkini rakyat

“Ia termasuk menambah baik mekanisme penentuan kumpulan sasar, memperkemas saluran penyampaian dan membolehkan pelaksanaan program yang lebih berkesan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan sistem itu dapat membantu kerajaan untuk menyediakan pengukuran kedudukan sosioekonomi rakyat yang lebih tepat dan mengelakkan keciciran berdasarkan pendapatan boleh guna bersih.

Ujar beliau, kaedah pengukuran tersebut mengambil kira jumlah tanggungan dan bilangan isi rumah, kos sara hidup mengikut lokasi, jarak ke tempat kerja serta pemilikan aset seperti rumah, kenderaan dan tanah.

“Ini akan menyelesaikan masalah sebelum ini seperti ada individu datang ambil bantuan tetapi menaiki kenderaan mewah, jadi dengan sistem PADU kita dapat mengenal pasti pihak yang memalsukan maklumat kerana ia disertakan data pemilikan kenderaan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Pendekatan ini juga membolehkan kerajaan beralih daripada konsep B40, M40 dan T20 tetapi lebih melihat kepada kewajaran pemberian bantuan berdasarkan kriteria yang ditetapkan,” jelas Rafizi.

Tambah Rafizi, sebelum Go-Live PADU, projek rintis telah dijalankan di beberapa lokaliti serta kementerian dan agensi pada bulan Disember 2023.

Ujarnya, lokaliti tersebut termasuk Mukah di Sarawak, Projek Perumahan Awam Desa Rejang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Flat Pandan Utama di Ampang Jaya dan Kampung Orang Asli, Hulu Kemensah di Selangor.

Bagaimanapun katanya, bagi individu yang tidak mempunyai akses kepada kemudahan internet, pendaftaran juga boleh dilakukan di Pejabat Operasi Negeri DOSM atau Pusat Ekonomi Digital (PEDi).

Tambah beliau, pasukan ‘flying squad’ juga akan digerakkan bagi memastikan semua rakyat dapat mendaftar.

“Insya-ALLAH, sekiranya PADU berjalan lancar, ia akan dapat membantu mencapai sasaran defisit fiskal di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021 hingga 2025 (KSP RMKe-12) antara 3.5 peratus kepada 3 peratus bagi KDNK 2025.

“Akhir kata, inisiatif ini merupakan antara keutamaan kerajaan dalam memastikan manfaat limpahan ekonomi dapat dirasai secara adil dan saksama oleh segenap lapisan rakyat,” jelas Rafizi.