JMA keluarkan amaran tsunami selepas gempa bumi magnitud 7.6

Mesej amaran disiarkan secara langsung di NHK World yang meminta orang ramai berpindah dari kawasan itu selepas beberapa siri gempa bumi besar melanda tengah Jepun. - Foto AFP
Mesej amaran disiarkan secara langsung di NHK World yang meminta orang ramai berpindah dari kawasan itu selepas beberapa siri gempa bumi besar melanda tengah Jepun. - Foto AFP
A
A
A

TOKYO - [DIKEMAS KINI] Gelombang tsunami setinggi lebih satu meter melanda tengah Jepun pada Isnin, selepas satu siri gempa bumi kuat menyebabkan kediaman rosak dan penutupan lebuh raya menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada orang ramai supaya lari ke kawasan tinggi.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud melanda wilayah Noto di Ishikawa pada jam 4.10 petang (waktu tempatan), manakala agensi cuaca Jepun melaporkan 21 gempa bumi berturut-turut berukuran 4.0 magnitud telah melanda wilayah tengah negara itu dalam tempoh 90 minit.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata, ombak tsunami setinggi 1.2 meter telah melanda pelabuhan Wajima di wilayah Ishikawa pada jam 4.21 petang (waktu tempatan).

"Semua penduduk mesti berpindah segera ke tempat lebih tinggi," kata stesen penyiar NHK selepas gempa bumi.

Pusat Amaran Tasunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii berkata, gelombang tsunami berbahaya mungkin berlaku dalam jarak 300 kilometer dari pusat gempa di sepanjang pantai iaitu di sebelah Laut Jepun di pulau Honshu.

JMA menambah, tsunami setinggi lima meter dijangka tiba di wilayah Noto.

Setakat ini, kerajaan Jepun masih menilai kerosakkan dan kemalangan jiwa akibat bencana tersebut.

Bagaimanapun, kira-kira 33,500 isi rumah di sekitar pusat gempa di wilayah Toyama, Ishikawa dan Niigata dilaporkan terputus bekalan elektrik.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pulau Sakhalin dan Vladivostok di timur jauh Rusia berada dalam berjaga-jaga kerana kemungkinan terdapat risiko tsunami selepas gempa bumi di Jepun. - AFP