Dasar laut naik dua meter selepas gempa kuat gegar Filipina

MANILA – Gempa kuat yang meragut 61 nyawa di Filipina pada minggu lalu telah mengangkat dasar laut sehingga kira-kira dua meter.
Jabatan Alam Sekitar pada Ahad memaklumkan penduduk setempat mula melaporkan tentang fenomena geologi yang dikenali sebagai 'kenaikan daratan pesisir', dua hari selepas gegaran 7.8 skala Richter yang berlaku pada 8 Jun lalu.
Ia menyebabkan garis pantai memanjang sehingga 200 meter di beberapa kawasan.
"Pasukan yang dihantar ke kawasan terjejas mendapati bahawa bahagian pantai yang panjang, terumbu karang dan padang rumpai laut telah terdedah.
"Pihak berkuasa masih belum dapat menentukan dengan tepat keluasan kawasan yang terjejas kerana proses tinjauan masih dijalankan di kawasan yang sangat besar," menurutnya.
Foto yang dikeluarkan oleh jabatan itu menunjukkan hamparan besar terumbu karang yang terdedah dengan hidupan akuatik yang telah mati.
Penduduk kini bimbang terhadap perubahan dasar laut itu kerana dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya, termasuk risiko terhidu gas atau bau busuk daripada pereputan hidupan laut yang mati.
“Terumbu karang dan padang rumpai laut yang terdedah mula mati bersama organisma yang hidup di dalamnya seperti ikan terumbu, belut, kerang dan siput laut,” kata Jabatan Alam Sekitar.
Sementara itu, Institut Vulkanologi dan Seismologi (PHIVOLCS) mengesahkan pergerakan di Jurang Cotabato Trench telah menolak sebahagian kawasan pesisir pantai di wilayah Sarangani dan Davao Occidental, sekali gus mendedahkan dasar laut yang sebelum ini tenggelam di bawah air.
Jurang Cotabato yang terletak sejauh kira-kira 50 kilometer dari pantai selatan Mindanao merupakan kawasan yang kerap mengalami aktiviti seismik termasuk ribuan gegaran kecil yang direkodkan dalam satu 'kelompok gempa' pada Januari lalu. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

