Perlu pendekatan baharu tangani banjir

Perancangan dan kajian lebih terperinci menerusi teknologi tinggi yang lebih sesuai, antara langkah dicadangkan dalam usaha meminimumkan kesan banjir.
Perancangan dan kajian lebih terperinci menerusi teknologi tinggi yang lebih sesuai, antara langkah dicadangkan dalam usaha meminimumkan kesan banjir.
A
A
A

MENGHADAPI banjir berskala besar bukanlah satu perkara baharu di Malaysia.

Sejarah telah mencatatkan hampir setiap tahun banjir melanda hingga menjejaskan kehidupan beribu-ribu orang dan kemusnahan harta benda.

Banjir paling buruk dalam negara direkodkan pada 2014 menyaksikan lebih 300,000 penduduk terpaksa dipindahkan. Tragedi yang digelar 'bah kuning' itu turut menyebabkan seluruh negeri Kelantan lumpuh.

Bencana ini berulang pada Disember 2021 apabila banjir besar melanda Semenanjung Malaysia hingga mengakibatkan kerugian RM6.1 bilion (Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021, Jabatan Perangkaan Malaysia).

Negeri paling terkesan dalam situasi dahsyat itu ialah Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, tidak terkecuali Sabah dan Sarawak.

Tragedi hitam yang menyaksikan langit menangis dan tangisan alam luar biasa ini perlu difahami sebagai satu peringatan bahawa sungai dan iklim bukan sesuatu yang boleh diramalkan.

Sesuatu yang perlu difahami, selain faktor perubahan iklim, banjir juga boleh berlaku kerana kealpaan manusia antaranya wujud pembangunan tidak terancang, pengabaian aspek pemuliharaan alam sekitar dan penyelenggaraan sistem saliran yang tidak sempurna.

Negara tentunya tidak mahu pisang berbuah dua kali terutama selepas ratusan juta ringgit diperuntukkan bagi menangani bencana banjir.

Artikel Berkaitan:

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak RM5.6 bilion diperuntukkan bagi pelbagai projek untuk mengatasi banjir di seluruh negara.

Jumlah itu meningkat kepada RM6.7 bilion dalam RMK-10 dengan peruntukan lebih RM1 bilion bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Dalam RMK-11, projek RTB di seluruh negara menjadi keutamaan kerajaan sebagai langkah mengatasi bencana banjir pada masa akan datang.

Ini termasuklah peruntukan lebih RM9 bilion melibatkan hampir 100 projek RTB dan Saliran Bandar yang terkandung dalam RMK-12 dan turut merangkumi projek sambungan daripada RMK-11.

Ironinya, di sebalik pelbagai projek dan peruntukan yang begitu besar, penyelesaian tuntas masih belum dapat dilihat ketika ini, untuk menangani banjir secara keseluruhannya.

Mungkin, pendekatan konvensional tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi membantu menyelesaikan rantaian bencana banjir. Ini disokong dengan perubahan cuaca luar biasa yang tidak lagi boleh diramal.

Perancangan dan kajian lebih terperinci menerusi teknologi tinggi yang lebih sesuai, antara langkah dicadangkan dalam usaha meminimumkan kesan banjir.

Kerajaan melalui kementerian-kementerian terlibat juga boleh mengadakan perbincangan bersama pakar-pakar untuk memperkenalkan pelan tindakan pengurusan risiko banjir yang lebih efektif.

Tidak hanya itu, dasar baharu berkaitan pengurusan banjir juga berkemungkinan perlu diwujudkan agar selari dengan keperluan semasa dan masa akan datang.

Sekiranya perlu, sebuah akta berkaitan kawalan bencana boleh diwujudkan bagi menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan terhadap mereka yang melakukan kesalahan, bukan sahaja membabitkan alam sekitar tetapi juga industri.

Melihat contoh pengurusan bencana banjir di negara Jepun, sistem anti banjir yang didirikan menerusi Terowong Pelepasan Bawah Tanah Luar Kawasan Metropolitan atau lebih ringkasnya Projek G-Cans telah berjaya mengatasi masalah banjir yang berlaku saban tahun sejak siap dibina pada 2006.

Dilaporkan, sistem terletak di pinggir bandar Tokyo yang menelan kos $2.2 bilion itu merupakan satu kejayaan kejuruteraan paling mengagumkan dan walaupun pembinaannya memerlukan belanja yang tinggi, ia dianggap berbaloi kerana dapat mengurangkan lebih banyak kerugian terutama aspek harta benda.

Dalam apa juga keadaan, perancangan dalam menangani masalah banjir harus membabitkan semua pihak dengan tumpuan kepada mengurangkan impak banjir.

Dengan kata lain, pengurusan risiko banjir harus dijadikan agenda kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya pendekatan dan perancangan yang diperkenalkan dapat dilaksanakan sebaiknya.

Janganlah sampai setiap kali banjir berlaku, parit kecil pula dipersalahkan.

* Normawati Adnan ialah wartawan Sinar Harian Perak