Maritim Malaysia catat prestasi cemerlang tangkapan, rampasan tahun lalu

Hamid ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada Selasa.
Hamid ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 167 tangkapan dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan jumlah rampasan bernilai lebih RM38 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pihaknya mencatatkan prestasi cemerlang pada tahun 2023 dengan jumlah 14,980 hari operasi dijalankan di laut.

Beliau berkata, angka itu sekali gus mencapai Indikator Pencapaian Utama (KPI) yang disasarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Maritim Malaysia telah melakukan 180,000 pemeriksaan (voice, sighting, radar) dan 43,676 penggeledahan yang mana telah menghasilkan 1,211 tangkapan atau rampasan di atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak 167 tangkapan telah dibuat berdasarkan maklumat perisikan iaitu 14 peratus daripada tangkapan keseluruhan Maritim Malaysia dengan anggaran nilai keseluruhan melebihi RM38 juta,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2024 di Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada Selasa.

Antara pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada Selasa.
Antara pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada Selasa.

Katanya, tiga teras menjadi fokus Maritim Malaysia tahun ini dalam memastikan setiap tugasan mencapai sasaran dan matlamat.

"Teras ini terdiri daripada Integriti, Operasi dan Ilmu atau singkatannya I.O.I yang mana perlu disematkan dan dijadikan panduan serta fokus bagi pelaksanaan proses kerja oleh semua warga Maritim Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap tiga teras ini menjadi inisiatif strategi bahagian masing-masing dalam menetapkan sasaran kerja utama bagi tahun 2024," katanya.

Dalam pada itu, seramai 150 orang pegawai dan anggota serta kakitangan Maritim Malaysia menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 itu.

Majlis turut disaksikan secara dalam talian oleh warga Maritim Negeri dan Zon Maritim di seluruh negara.