Sila log masuk terlebih dahulu.

Hampir 200,000 PATI sertai program pulang ke negara asal

Jabatan Imigresen Putrajaya dibanjiri dengan pekerja asing yang ingin pulang di bawah program Pulang ke Negara Asal atau 'Back for Good' (B4G) yang diperkenal kerajaan sejak Ogos lalu untuk membanteras kewujudan pekerja asing dari komuniti Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
Jabatan Imigresen Putrajaya dibanjiri dengan pekerja asing yang ingin pulang di bawah program Pulang ke Negara Asal atau 'Back for Good' (B4G) yang diperkenal kerajaan sejak Ogos lalu untuk membanteras kewujudan pekerja asing dari komuniti Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ketika tinjauan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUCHONG - Seramai 195,471 pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara telah berdaftar dalam program 'Back For Good' (B4G) yang berakhir, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, seramai 165,040 Pati sudah dihantar pulang ke negara masing-masing.

“Seramai 30,431 Pati masih menunggu untuk dihantar pulang ke negara mereka. Proses penghantaran bergantung kepada tarikh tiket penerbangan yang ditempah," katanya pada sidang media di sini tadi.

Menurutnya, lima negara merekodkan jumlah PATI paling ramai berdaftar antaranya Indonesia, Bangladesh, Myanmar, India dan Pakistan.

"Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan pekerja,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, sepanjang tempoh perlaksanaan B4G, pihaknya turut menerima aduan berhubung kewujudan ‘ulat’ yang berperanan sebagai perantara bagi mempercepatkan proses pendaftaran program itu.

“Lima individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing telah ditahan untuk diambil keterangan selepas didapati menjadi perantara atau ejen di pejabat Imigresen di Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya.

Sebahagian daripada PATI yang menunggu giliran untuk menyelesaikan proses dokumentasi mereka sebelum pulang ke negara asal.
Sebahagian daripada PATI yang menunggu giliran untuk menyelesaikan proses dokumentasi mereka sebelum pulang ke negara asal.

Artikel Berkaitan:

Pada 18 Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program B4G bermula 1 Ogos hingga 31 Disember bertujuan mengurangkan PATI di negara ini.

Melalui program tersebut, PATI berkenaan hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap dari kedutaan dan pejabat pesuruhjaya tinggi masing-masing sebelum menyerahkannya kepada pejabat imigresen untuk diproses.

Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun RM700 dan menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan pintu masuk bagi mengatasi masalah kemasukan pelancong warga China dan India yang didapati terus tinggal di negara ini.

“Tindakan yang akan diambil bagi mengatasi masalah ini adalah dengan memperketatkan kawalan pintu masuk negara iaitu memastikan pelancong yang masuk menggunakan pas lawatan sosial mengikuti peraturan ditetapkan.

“Individu menggunakan pas itu wajib mempunyai tempat tinggal sepanjang tempoh berada di sini seperti hotel dan mempunyai kewangan yang kukuh bagi menampung perbelanjaan mereka," katanya.

Menurutnya, individu itu perlu mengemukakan sekali tiket penerbangan pulang ke negara asal.

"Ia sebagai syarat menggunakan pas lawatan sosial di negara ini,” katanya.

Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 2 mendedahkan lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat negara ini dari 2016 sehingga tahun lalu tidak mempunyai rekod tarikh keluar.