43 keluarga di Kampung Lata Jangggut Seberang terima bakul makanan

Mohd Shaifudeen (kanan) memerhatikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Lata Janggut Seberang. Gambar ihsan Penghulu Mukim Sungai Long
Mohd Shaifudeen (kanan) memerhatikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Lata Janggut Seberang. Gambar ihsan Penghulu Mukim Sungai Long
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 43 keluarga membabitkan kira-kira 210 penduduk di Kampung Lata Jangggut Seberang, Jeli sudah menerima bantuan awal bakul makanan asas yang dihantar kepada mereka pagi Sabtu.

Penghulu Mukim Sungai Long, Wan Azman Wan Musa berkata, tindakan segera itu dilaksanakan berikutan penduduk tidak dapat keluar kerana jalan utama yang menghubungkan mereka dengan bandar Jeli dan kawasan sekitar runtuh.

"Hari ini Pegawai Tanah dan Jajahan Daerah Jeli, Mohd Shaifudeen Mohd Salleh mengarahkan bakul makanan dihantar dengan bantuan segera semua pasukan keselamatan sementara jalan itu dibaiki sepenuhnya.

"Esok pula (Ahad), pasukan bantuan akan memasuki semula kampung itu untuk menghantar bekalan makanan basah yang dianggarkan boleh digunakan dalam tempoh seminggu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ujar beliau, semua jabatan keselamatan terlibat dalam gotong-royong penghantaran bekalan makanan dan pemantauan setempat manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat menyediakan bekalan bakul makanan.

Keadaan jalan yang menghubungkan Kampung Lata Janggut Seberang selepas runtuh pada Jumaat.
Keadaan jalan yang menghubungkan Kampung Lata Janggut Seberang selepas runtuh pada Jumaat.

"Kita juga akan berusaha membuka jalan alternatif kepada penduduk berikutan mereka tidak boleh menggunakan sebarang kenderaan selain hanya berjalan kaki," katanya.

Tambah Wan Azman, semua pemimpin setempat dan ketua pasukan keselamatan turut hadir melihat situasi berkenaan dan bermesyuarat untuk pembinaan jalan alternatif.

Artikel Berkaitan:

"Kami penduduk di sini berterima kasih kepada Mohd Shaifudeen kerana tindakan segera beliau memanggil pemimpin setempat mengadakan mesyuarat turut mendapat perhatian Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi," katanya.

Media pada Sabtu melaporkan, Alexander sudah maklum perkara itu selepas dilaporkan oleh JKR Jajahan Jeli bahawa jalan yang terlibat adalah jalan kampung di bawah pejabat daerah.

Pasukan JKR Jajahan Jeli sedang membantu menyediakan anggaran kos pembinaan jalan sementara di sebelah jalan yang runtuh bagi mengelakkan penduduk kampung terputus hubungan.