Muat naik video anak autisme, mahu masyarakat peka

Mohd Arrayayan didukung oleh seorang lelaki yang menjumpainya keluar dari jalan raya. Foto Mazuan Zainal Abidin
Mohd Arrayayan didukung oleh seorang lelaki yang menjumpainya keluar dari jalan raya. Foto Mazuan Zainal Abidin
A
A
A

JEMPOL - Menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa yang mempunyai anak istimewa bukan sesuatu yang mudah terutama apabila berdepan cabaran dan pelbagai stigma daripada masyarakat.

Itu yang dilalui pasangan suami isteri dari Felda Raja Alias 4, Bandar Seri Jempol, di sini Mohd Najib Abdul Kadir, 33, dan Maziah Zainal Abidin, 35, yang mempunyai seorang anak autisme, Mohd Arrayyan yang kini berusia tujuh tahun.

Mohd Arrayyan mendapat perhatian umum apabila bapa saudaranya Mazuan berkongsi rakaman CCTV mengenainya.
Mohd Arrayyan mendapat perhatian umum apabila bapa saudaranya Mazuan berkongsi rakaman CCTV mengenainya.

Mohd Arrayyan bagaimanapun mendapat perhatian umum apabila bapa saudaranya Mazuan Zainal Abidin, 33, mengambil inisiatif berkongsi rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan anak saudaranya itu yang sering melarikan diri keluar dari rumah mereka.

Katanya, rekod itu adalah rakaman antara 2020 hingga kini.

Ujar Mazuan, masyarakat perlu cakna dan peka mengenai autisme berikutan tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku membabitkan golongan tersebut.

Mazuan
Mazuan

"Sebab saya tengok komen-komen dekat Facebook mengenai kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, ada yang mendakwa ibu bapanya tidak tahu jaga dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, saya rasa ada keperluan dan beritahu masyarakat mengenai autisme ini, macam mana cabaran ibu bapa mereka nak hadapi anak autisme, penjagaan. Maka saya memuat naik video (mengenai Mohd Arrayyan) dekat TikTok," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Sementara itu, menurut Maziah, anak kedua daripada empat beradik itu disahkan menghidap autisme ketika berusia tiga tahun.

"Pada peringkat awal, perkembangannya biasa sahaja, tetapi kami mulai perasaan apabila dia ada perangai pelik contohnya 'eye contact' dia kurang dan apabila dipanggil kurang respons.

"Rayyan sekarang sudah bersekolah di Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Kebangsaan Dato Penghulu Luak Jempol di sini dan kebetulan saya juga bekerja di sekolah sama, malah guru-guru serta pembantu pengurusan murid (PPM) sangat membantunya terutamanya dari segi disiplin.

"Syukur guru besar juga, Jaffry Ros Abu Kassim banyak membantu memudahkan saya untuk segala urusan janji temu rawatan Rayyan di klinik," katanya.

Dalam pada itu Maziah berkata, percaya ibu bapa yang mempunyai anak istimewa ini bukannya mahu simpati daripada masyarakat sebaliknya mahu mereka peka dengan golongan ini.

Maziah
Maziah

"Contohnya kalau kami pergi keluar, makan atau sebagainya, biasanya anak-anak ini ada perangai pelik sedikit berbeza, jadinya cuba bagi peluang dan ruang kepada kami maknanya tidak perlulah pandang sinis.

"Sekurang-kurangnya faham dan jangan terlalu mempersalahkan kami sebab nak membesarkannya bukan mudah," katanya.