eMadani RM100 galak warga emas, ibu bapa di kampung belanja guna kod QR

Pemberian bantuan e-tunai menggalakkan penggunaan bayaran digital dengan lebih meluas di bandar dan pedalaman. - Gambar hiasan
Pemberian bantuan e-tunai menggalakkan penggunaan bayaran digital dengan lebih meluas di bandar dan pedalaman. - Gambar hiasan
A
A
A

RAKYAT berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun tidak melengahkan masa memohon eMadani sejak pendaftaran bantuan kredit e-tunai RM100 itu dibuka pada Isnin.

Bantuan eMadani merupakan sebahagian daripada kerangka ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ yang bertujuan meningkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai dan meringankan beban kewangan rakyat.

Seramai 10 juta rakyat dewasa layak memohon dan perlu melengkapkan syarat-syarat pengesahan identiti termasuk mengimbas wajah masing-masing di aplikasi e-dompet MAE, Setel, Shopeepay dan Touch 'n Go yang menyediakan perkhidmatan tersebut.

Pelbagai gelagat ketika mengimbas wajah di hadapan telefon bimbit masing-masing yang dikongsi anak dan cucu mereka di media sosial telah mencuit hati netizen.

Rata-rata tersenyum gembira sambil ketawa kecil melihat detik itu kerana peredaran zaman membuatkan golongan lanjut usia tidak terkecuali perlu menyesuaikan diri mengikut perkembangan teknologi.

E-dompet bukan asing bagi generasi muda dan golongan pertengahan namun mungkin sesuatu yang baharu bagi sebilangan besar warga emas terutama di luar bandar.

Mereka masih mengutamakan pembayaran secara tunai dalam urusan jual beli harian malah ada yang beranggapan mengimbas kod QR agak leceh dan memeningkan kepala.

Inisiatif kerajaan memperluaskan pemberian bantuan e-tunai kepada semua kumpulan dewasa berbanding belia sebelum ini, secara tidak langsung menggalakkan penggunaan bayaran digital dengan lebih meluas di bandar dan pedalaman.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, anak-anak disaran memainkan peranan memberi tunjuk ajar kepada ibu bapa masing-masing cara menggunakan kemudahan itu dengan selamat dan berwaspada terhadap sebarang taktik penipuan dalam talian.

Peniaga kecil di kampung perlu menyokong usaha kerajaan dengan menyediakan kod QR dan mesin pengimbas bayaran agar wang bantuan eMadani turut berada dalam aliran ekonomi di luar bandar.

Kredit eMadani dikhususkan untuk pembelian secara fizikal di kedai tempatan maka ia tidak boleh digunakan bagi penebusan tunai, bayaran bil utiliti terintegrasi dengan aplikasi e-dompet dan pembelian barangan dalam talian.

Golongan peniaga tempatan menerima manfaat sepenuhnya malah kerajaan optimis langkah pemberian kredit e-dompet yang menelan kos RM1 bilion itu tidak akan menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi di negara ini.

Kementerian Kewangan menjelaskan ia kerana jumlah tersebut akan menjadi RM3 bilion berikutan kesan pengganda.

Orang ramai juga tidak perlu terburu-buru menuntut kredit kredit e-Madani yang dilaksanakan secara sekali bayar itu kerana pendaftaran dibuka hingga 20 Februari 2024.

Sekiranya permohonan gagal, individu berkenaan diminta meneliti semula syarat kelayakan terutama bagi mereka yang tidak pernah mengisytiharkan pendapatan menerusi sistem e-Filing.