'Kerajaan tangguh PSP kerana bimbang kenaikan kos sara hidup rakyat'
GEORGETOWN - Penangguhan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) adalah kerana kerajaan bimbang pengapungan harga petrol akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup rakyat, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Beliau berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa prihatin tentang kos sara hidup kerana harga minyak akan secara langsung memberi impak terhadap kos sara hidup rakyat khususnya golongan B40.
"Itu yang menyebabkan kita (kerajaan) nak berhati-hati dalam melaksanakan PSP. Itu yang kita nak bincang kerana apabila pengapungan, harga minyak dijangka naik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan hari pertama penurunan kadar tol di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini hari ini.
Menurutnya, bukan sahaja pengguna atau rakyat biasa tetapi kalangan ahli perniagaan juga menzahirkan kebimbangan tentang kesan daripada pengapungan harga minyak, sungguhpun satu atau dua sen seminggu.
Isnin lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa pelaksanaan PSP, yang dijadualkan bermula Januari 2020, ditangguhkan ke satu masa yang akan diumumkan kemudian.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan tangguh pelaksanaan Program Subsidi Petrol
Pada 7 Oktober lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PSP bermula Januari 2020, sesuai dengan manifesto PH.
Kerajaan memperuntukkan RM2.4 bilion bagi PSP dalam Bajet 2020 dengan jumlah penerima akan manfaatkan lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.
Mereka yang layak akan diberikan subsidi petrol sebanyak RM30 sebulan untuk pemilik kereta atau RM12 sebulan untuk pemilik motosikal yang disalurkan dalam bentuk pemindahan tunai dan dikreditkan terus ke akaun bank penerima setiap empat bulan.
Berikutan pelaksanaan PSP itu, harga petrol RON95 akan diapungkan.
Guan Eng berkata, PSP ditangguhkan untuk dikaji impaknya, bagi memastikan kerajaan dapat membantu mereka yang layak mendapat bantuan itu.
"Penangguhan pelaksanaan PSP adalah juga untuk memastikan rakyat lebih memahami program ini kerana ia dapat memberikan manfaat kepada rakyat khususnya golongan B40," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tangguh PSP beri dua hikmah kepada rakyat'
Terdahulu, Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP turut membidas tindakan parti pembangkang MCA yang mengkritik keputusan kerajaan untuk menangguhkan PSP.
“Sebelum ini bila diumumkan...parti pembangkang telah mengkritik tindakan itu kerana bawa kesulitan kepada rakyat.
"Tetapi bila sekarang kita tangguhkan PSP, pihak pembangkang juga kritik kerana tidak laksanakan cepat-cepat. Jadi kita nak tahu apakah pendirian mereka (MCA) ataupun mereka sekadar nak cari modal politik untuk kritik," katanya. - Bernama