'SESB tanggungjawab kita, jangan tuding jari lagi' - Madius

Madius (tiga dari kanan) melancarkan buku The SESB Story - Kisah SESB di Kota Kinabalu.
Madius (tiga dari kanan) melancarkan buku The SESB Story - Kisah SESB di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jangan tuding jari ke arah mana-mana pihak lagi selepas sahaja kuasa kawal selia pengurusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) diserahkan kepada kerajaan Sabah.

Pengerusi SESB Datuk Seri Madius Tangau berkata, SESB akan menjadi tanggungjawab kerajaan Sabah selepas pemindahan kuasa kawal selia pengurusan SESB dilaksanakan nanti.

"Selepas ini, kita akan bertanggungjawab sepenuhnya dan tidak boleh menuding jari ke arah mana-mana pihak.

"Kita perlu sedar bahawa SESB adalah sebuah entiti perniagaan yang dipacu perniagaan dan harus berdiri sendiri tanpa bergantung kepada subsidi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran buku The SESB Story-Kisah SESB sempena sambutan Jubli Perak Ke-25 SESB dan Majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2024 di sini pada Khamis.

Madius menunjukkan buku The SESB Story - Kisah SESB selepas melancarkannya di Kota Kinabalu.
Madius menunjukkan buku The SESB Story - Kisah SESB selepas melancarkannya di Kota Kinabalu.

Penerbitan buku itu adalah sempena 25 tahun SESB dan menjelang sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 3 Januari ini yang akan membahaskan dua enakmen berkaitan penyerahan kembali kawal selia pengurusan sektor elektrik daripada kerajaan pusat kepada kerajaan negeri Sabah.

Mengulas lanjut, Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, demi kelestarian sektor tenaga elektrik di Sabah penting untuk syarikat itu merangka hala tuju yang jitu bagi mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pihak termasuklah subsidi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Selaku Pengerusi SESB dan rakyat Sabah yang diberikan amanah untuk menerajui SESB, saya yakin bahawa sidang DUN Sabah pada 3 Januari ini akan memberikan sinaran kepada SESB untuk terus menyinari Sabah dengan lebih kukuh.

"Selepas empat dekad kuasa mengawal selia menguruskan kemudahan kuasa pengurusan bekalan elektrik akan dikembalikan kepada Sabah. Langkah memindahkan kuasa kawal selia itu satu sejarah. Sejarah berulang kembali," katanya.

"Tetapi, dalam erti kata sebenar, kita mempunyai cabaran besar untuk menjayakan sasaran setelah kembalinya kuasa menguruskan SESB," katanya.

Tambah Madius lagi, perlu ada kaedah dan formula yang terbaik untuk menguruskan SESB dalam usaha menjana keuntungannya sendiri.

"Sama ada kita akan berjaya atau sebaliknya, bergantung kepada seratus peratus berada di tangan kita.

"Kita perlu melihat apakah mekanisme yang terbaik, model dan formula paling terbaik yang perlu dan boleh dilaksanakan untuk Sabah," katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada dasarnya telah memberi persetujuan kepada Sabah untuk mengambil alih kawal selia bekalan elektrik bermula 1 Januari depan.