Hattan, M Nasir bakal berkongsi pentas Konsert Sifu dan Aku di Kota Kinabalu

Hattan dan M Nasir bakal berkongsi pentas untuk menjayakan konsert Sifu dan Aku yang akan diadakan pada 3 Februari depan.
Hattan dan M Nasir bakal berkongsi pentas untuk menjayakan konsert Sifu dan Aku yang akan diadakan pada 3 Februari depan.
A
A
A

DUA sosok penghibur tersohor tanah air, Datuk M Nasir dan Datuk Hattan bakal berkongsi pentas untuk menjayakan konsert Sifu dan Aku yang akan diadakan pada 3 Februari depan.

Konsert yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) itu menjadikan Kota Kinabalu sebagai destinasi pertama konsert yang menampilkan kira-kira 20 lagu hit mereka berdua.

Hattan atau nama sebenar, Mohd Shukri Shahabudin, 59, menyifatkan konsert itu sebagai gambaran bahawa Sabah merupakan tempat yang menjadi persinggahan wajib baginya.

"Sabah adalah satu tempat yang harus saya datang setiap tahun bukan hanya disebabkan makanan lautnya tetapi ketenangan dan kedamaian yang saya dapat di sini.

"Malah banyak tempat saya telah pergi. Saya sudah sampai di seluruh Sabah, Felda Sahabat itu pun saya sudah sampai. Jadi ini adalah peluang yang saya tunggu-tunggu.

"Saya juga pernah mengadakan persembahan di sini pada tahun lepas bersama Datuk Awie dan ia sangat 'happening' dan saya menjadikan SICC sebagai satu lokasi konsert yang saya idam-idamkan," katanya dalam sidang akhbar di SICC pada Selasa.

Hattan dan M Nasir dalam sidang akhbar di SICC Kota Kinabalu.
Hattan dan M Nasir dalam sidang akhbar di SICC Kota Kinabalu.

Hattan dalam pada itu turut memberi jaminan penonton akan disajikan dengan persembahan yang luar biasa antara beliau sebagai anak murid dan gurunya, M Nasir.

Artikel Berkaitan:

"Kalau boleh saya panggil konsert ini 'sedap' macam 'Seafood Sedap' (restoran), jadi kita akan nyanyikan lagu-lagu yang sedap.

"Lagu-lagu yang hit. Orang kata konsert ini orang nak berhibur, orang bukan nak berfikir panjang-panjang, jadi kami akan pastikan semua berhibur bersama-sama kami," katanya.

Tambahnya lagi, konsert itu sudah tentu bukan hanya untuk menghiburkan warga Sabah tetapi juga peminat dari negara jiran seperti Indonesia dan Brunei yang mana ia turut membantu industri pelancongan negeri ini.

"Ini bukan hanya mengenai konsert untuk orang Sabah dan saya rasa ini juga membantu ekonomi di Sabah dan saya rasa menerusi konsert seperti ini boleh membantu pelancongan di Sabah.

"Peminat dari Brunei boleh datang, dari Kalimantan, Indonesia pun boleh datang kerana saya tahu orang Kalimantan pun dengar lagu-lagu kita," katanya.

Sebelum itu, Hattan turut berkongsi bahawa konsert itu sepatutnya diadakan pada tahun lalu namun terpaksa ditunda ke tahun depan sebagai menghormati pemergian seorang rakan yang terlibat dalam konsert tersebut.

Sementara itu, M Nasir yang juga komposer dan penyanyi legenda negara melahirkan penghargaan terhadap Hattan yang berkongsi pentas dengannya walaupun beliau sudah lebih 40 tahun berada dalam industri muzik.

"Setelah 10 tahun baru Hattan muncul dalam hidup saya dan Hattan telah menampakkan satu janji yang dia akan kekal dalam industri muzik ini.

"Hari ini saya bersyukur dan bertuah dapat bersama dengan Hattan di satu pentas di mana nama Sifu itu Hattan yang namakan dan orang memanggil saya Sifu kerana dia yang memanggil saya Sifu," kata penyanyi lagu Tanya Sama Itu Hud Hud itu.

Tiket konsert gabungan pertama dua legenda muzik nusantara ini boleh didapati menerusi laman sesawang https://ilassotickets.com/event/konsert-sifu-aku/.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!