Cari penawar mujarab penyakit 'sampah terbang'

Zink bumbung sekitar kawasan Rumah Pangsa Blok 2 Desa Mentari, Petaling Jaya yang dipenuhi dengan sampah.
Zink bumbung sekitar kawasan Rumah Pangsa Blok 2 Desa Mentari, Petaling Jaya yang dipenuhi dengan sampah.
A
A
A

ISU ‘sampah terbang’ atau perbuatan membuang sampah dari tingkat atas bangunan bukan masalah baharu. Ia merupakan penyakit yang tiada kesudahan.

Sinar Harian pada Rabu menyiarkan keluhan penduduk di kawasan Rumah Pangsa Blok 2, Desa Mentari di Petaling Jaya berhubung masalah pembuangan sampah dari tingkat atas oleh individu tidak bertanggungjawab.

Penduduk mendakwa isu tersebut semakin kritikal dan telah berlanjutan sejak 20 tahun lalu.

Kurang kesedaran sivik, malas turun ke bawah dan sikap pentingkan diri menyumbang kepada masalah berkenaan.

Selain isu kebersihan, perbuatan membuang sampah atau objek dengan sewenang-wenangnya dari tingkat atas turut berisiko mengancam nyawa orang lain dan merosakkan kenderaan penghuni di tingkat bawah.

Ingatkah lagi insiden seorang remaja lelaki ditimpa kerusi pejabat yang dibuang dari tingkat atas pangsapuri pada 15 Januari 2018?

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Kuala Lumpur itu, mangsa, S Sathiswaran maut serta-merta di lokasi kejadian. Kerusi tersebut dipercayai dicampak dari tingkat 17, Blok 102 dan pelakunya masih belum ditangkap sehingga kini.

Pada 2016 pula, seorang wanita, Yip Yoke Cheng, 48, menerima 24 jahitan apabila kepalanya cedera terkena penyapu di baling dari tingkat atas rumah pangsa Jalan Kenanga, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Kejadian kira-kira 11 pagi, 25 September itu berlaku semasa Yoke Cheng sedang membantu seorang individu yang bertanyakan laluan di situ.

Amat menyedihkan, masyarakat tidak menjadikan kedua-dua insiden itu sebagai pengajaran, sebaliknya perbuatan membuang sampah dari tingkat atas semakin menjadi-jadi.

Justeru, terdapat cadangan supaya mengenakan denda dengan menutup bekalan air seluruh pangsapuri terlibat sekiranya berlaku kejadian membuang sampah dari tingkat atas.

Ada yang bersetuju tetapi ramai tidak sependapat kerana ia dianggap sebagai hukuman kolektif dan tidak adil kepada penghuni lain.

Apa pun, kesedaran tingkat tinggi sahaja mampu menjadi penawar bagi mengatasi isu ‘sampah terbang’.

Atau mungkin pihak berkuasa tempatan boleh mencontohi Singapura dalam mendidik warga mereka dalam menjaga persekitaran di kawasan perumahan bertingkat.