Galeri Pengasas Silat Gayong Malaysia mahu dibangunkan di tapak terbiar

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Sebuah galeri atau muzium mini Pengasas Silat Seni Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim menjadi hasrat untuk dibangunkan di tapak kediaman tokoh seni persilatan negara itu di Jalan Ayer Kuning, Taiping.

Setiausaha Pertubuhan Waris Kerabat Admar Malaysia, Siti Aluyah Hussin berkata, bagaimanapun hasrat membangunkan tanah tersebut oleh waris mutlak Mahaguru Silat Gayong berkenaan iaitu Siti Fadzilah Meor Abdul Rahman terbantut disebabkan masalah teknikal pemilikan tanah.

Menurutnya, nama-nama pemilik tanah yang dinamakan dalam senarai waris tidak dapat dikesan menjadi penghalang utama walaupun terdapat ramai murid Silat Seni Gayong menawarkan bantuan.

"Hasrat Siti Fadzilah dan keluarga serta murid Silat Gayong ialah untuk membangunkan sebuah galeri atau muzium mini Datuk Meor Abdul Rahman di samping membangunkan sebuah pusat latihan silat di atas tanah yang dinyatakan.

"Jasa Datuk Meor wajar diabadikan di tapak berkenaan bagi manfaat anak-anak Gayong di dalam dan di luar negara serta kepada masyarakat setempat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Siti Aluyah berkata, tanah seluas 0.4 hektar di Jalan Air Kuning, Taiping itu merupakan kurniaan daripada Sultan Perak, Allahyarham Sultan Idris Shah II sebagai penghargaan mengembangkan Silat Seni Gayong.

Katanya, baginda turut mencemar duli berangkat merasmikan Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia di tapak berkenaan yang terletak di Mukim Tupai, Daerah Larut Matang dan Selama pada tahun 1971.

"Tanah ini berstatus tanah pertanian. Setelah pemergian Meor Abdul Rahman dan anak angkatnya, Sazali Salleh yang berpindah, rumah berkenaan tidak berpenghuni dan terbiar.

Artikel Berkaitan:

"Pihak berkuasa tempatan juga telah menghentikan bekalan elektrik, air dan kemudahan saliran perparitan ke rumah tersebut.

"Pihak Siti Fadzilah serta keluarga bersedia menerima nasihat dan bantuan bagi menyelesaikan kemelut hak milik tanah berkenaan bagi membolehkan usaha membangunkannya seperti mana yang dihasratkan," katanya.

Sementara itu, Siti Aluyah menjelaskan Pertubuhan Waris Kerabat Admar Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 2020 diberi tanggungjawab menjaga kepentingan harta intelek ciptaan Meor Abdul Rahman dengan hasrat supaya keaslian ilmu dan adat-istiadat silatnya tidak tercemar.

Kenyataan media Pertubuhan Waris Kerabat Admar Malaysia pada Ahad berkaitan isu kediaman Meor Abdul Rahman yang terbiar di Jalan Air Kuning, Taiping.
Kenyataan media Pertubuhan Waris Kerabat Admar Malaysia pada Ahad berkaitan isu kediaman Meor Abdul Rahman yang terbiar di Jalan Air Kuning, Taiping.

Katanya, keahlian pertubuhan berkenaan terdiri daripada waris zuriat dan anak-anak angkat yang dipelihara oleh Meor Abdul Rahman selain turut melantik beberapa orang murid Silat Seni Gayong serta anggota masyarakat sebagai ahli kehormat waris kerabat.

Pada Ahad, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengumumkan mahu membangunkan semula kawasan kediaman terbiar itu sebagai mengenang jasa dan sumbangan Meor Abdul Rahman dalam seni persilatan tanah air.

Media pada 21 Disember lalu menyiarkan laporan mengenai keadaan kediaman Meor Abdul Rahman yang usang yang menunggu masa untuk menyembah bumi.

Sejarah merekodkan, Allahyarham Meor Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 1991 semasa berusia 76 tahun, sebagai Pengasas Silat Seni Gayong Malaysia yang begitu besar jasanya dalam dunia seni mempertahankan diri.

Sumbangan besar Allahyarham kepada seni silat tanah air dan pasukan keselamatan menarik perhatian pemimpin negara termasuk para sultan, antaranya Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkilalallahi Shah II, Sultan Perak ke-33 yang pernah mencemar duli berangkat melawat kediaman mahaguru silat itu semasa era kegemilangannya.

Kehandalan Allahyarham yang juga dikenali sebagai Rahman Sendo dalam dunia silat turut menarik minat orang asing antaranya ialah anak murid aktor bela diri Hollywood Bruce Lee iaitu Daniel Inosanto.