Warisan mahaguru Silat Seni Gayong terbiar

Rumah dua tingkat separa kayu dan batu itu pernah menjadi tempat kelahiran ribuan jaguh silat dan jurulatih seni mempertahankan diri negara.
Rumah dua tingkat separa kayu dan batu itu pernah menjadi tempat kelahiran ribuan jaguh silat dan jurulatih seni mempertahankan diri negara.
A
A
A

TAIPING - Di tepi Jalan Ayer Kuning menghala ke jalan utama Changkat Jering, Perak, berdiri sebuah kediaman usang yang menunggu masa untuk menyembah bumi.

Dikelilingi semak samun dengan tingkap, pintu, dinding dan bumbung mereput, bagi kebanyakan orang luar yang lalu di kawasan itu, kediaman dua tingkat separa kayu dan batu tersebut hanyalah sebuah rumah terbiar.

Namun, saat melihat papan tanda yang terpacak di tepi rumah berkenaan, baru diketahui binaan uzur tersebut adalah kediaman Pengasas Silat Seni Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim.

Di situ juga lahirnya ribuan jaguh silat dan jurulatih seni mempertahankan diri negara, selain menjadi saksi pewujudan modul latihan Tempur Tanpa Senjata (TTS) pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sedih sebenarnya apabila melihat keadaan kediaman ini sekarang. Dulu, di sini juga gelanggang silat dan setiap hari riuh dengan pencak Anak-Anak Gayong dari seluruh negara,” kongsi Waris Amanah Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Sazali Salleh kepada Bernama.

Sazali, 60, juga anak angkat mahaguru Silat Seni Gayong itu berkata, mereka pernah berusaha mengumpul dana bagi membaiki dan membaik pulih rumah arwah ayahnya itu namun gagal.

“Tabung yang kami tubuhkan bagi tujuan itu pada 2016 hanya berjaya mengumpul RM3,000,” tambahnya.

KHAZANAH NEGARA

Artikel Berkaitan:

Sejarah merekodkan, Allahyarham Meor Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 1991 semasa berusia 76 tahun, sebagai Pengasas Silat Seni Gayong Malaysia yang begitu besar jasanya dalam dunia seni mempertahankan diri.

Bukan calang-calang, di sebelah ibunya, beliau adalah cucu kepada pahlawan Pahang, Allahyarham Syed Zainal Al-Attas atau Tok Jenai manakala di sebelah bapa pula merupakan cucu pendekar terbilang pada abad ke-18 di Perak iaitu Tengku Daeng Kuning yang turut dikenali sebagai Panglima Hitam.

Allahyarham Meor Abdul rahman bersama aktor Blaise Loong.
Allahyarham Meor Abdul rahman bersama aktor Blaise Loong.

Menurutnya, arwah ayahnya mempelajari ilmu silat daripada Tok Jenai sejak berusia 12 tahun dan kehebatannya dalam seni bela diri diperakui oleh British yang mengangkat beliau sebagai orang Melayu pertama menjadi jurulatih tempur tentera laut British pada 1939.

“Ramai tidak mengetahui arwah ayah mendapat pengiktirafan daripada ATM untuk mewujudkan latihan Tempur Tanpa Senjata dengan menyerapkan Silat Seni Gayong ke dalam modul latihan tentera kita,” kata beliau, menambah TTS diwujudkan pada awal 1970-an.

Seramai 87 anggota tentera dan 48 anggota polis berjaya menamatkan kursus intensif Silat Seni Gayong yang berlangsung selama enam bulan di kediaman itu dan kemudian ditauliahkan sebagai jurulatih, membolehkan mereka melatih anggota lain dalam pasukan mereka.

TUMPUAN ANTARABANGSA

“Sebenarnya, tapak gelanggang itu dibina dengan kerjasama pihak tentera yang diarah oleh pemerintah tertinggi mereka mengambil pasir dan batu dari lombong Ayer Kuning yang kemudian ditambak di tapak tersebut sebelum didirikan balai adat dan pusat latihan,” jelas Sazali.

Sumbangan besar Allahyarham kepada seni silat tanah air dan pasukan keselamatan menarik perhatian pemimpin negara termasuk para sultan, antaranya Almarhum Sultan Idris Al-Mutawakkilalallahi Shah II, Sultan Perak ke-33 yang pernah mencemar duli berangkat melawat kediaman mahaguru silat itu semasa era kegemilangannya.

Kehandalan Allahyarham yang juga dikenali sebagai Rahman Sendo dalam dunia silat turut menarik minat orang asing antaranya ialah anak murid aktor bela diri Hollywood Bruce Lee iaitu Daniel Inosanto.

“Daniel datang Malaysia dan beritahu ayah dia hendak belajar Silat Seni Gayong dan ayah terima. Bagaimanapun, ayah tidak ajar silat ini kepada bangsa asing tetapi hanya mengajar cara bertumbuk, tapak langkahnya sahaja," jelasnya.

“Boleh dikatakan hingga akhir 1980-an ramai ahli seni bela diri asing datang 'berguru' dengan ayah antaranya ialah aktor Blaise Loong, pakar jujutsu Jan De jong serta ahli gusti terkenal dunia ‘King Kong’ dengan tujuan berkenalan dan menuntut ilmu selain menunjukkan kehandalan masing-masing,” kata Sazali.

Sazali (tengah) bersama pelajar Silat Seni Gayong.
Sazali (tengah) bersama pelajar Silat Seni Gayong.

HARGAI WARISAN SILAT SENI GAYONG

Justeru, Sazali berharap usaha yang dilakukannya dapat membuka mata ramai pihak untuk menghargai kediaman itu.

“Banyak manfaatnya jika kita baik pulih kembali rumah arwah ayah kerana bukan sahaja menjadi rujukan kepada atlet silat dan Anak-Anak Gayong serta penggiat seni mempertahankan diri sedunia tetapi juga berpotensi menjadi tumpuan pelancong ke Perak.

“Seperti seni mempertahankan diri seperti kung fu shaolin yang masih utuh mempertahankan warisan pengasasnya di Shaolin Temple (Kuil Shaolin), China, mengapa kita tidak boleh lakukan perkara sama?‚” soalnya, menambah ketika ini terdapat kira-kira satu juta Anak-Anak Gayong dalam pelbagai persatuan di negara ini.