TRW wajar bermula semula dari bawah

Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. GAMBAR KECIL: MOHD SADEK
Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. GAMBAR KECIL: MOHD SADEK
A
A
A

KETIKA status Kelantan FC untuk beraksi dalam Liga Super musim depan masih menjadi teka-teki susulan isu Lesen Kebangsaan, The Red Warriors (TRW) mungkin boleh bersedia untuk turun pangkat beraksi dalam saingan Liga M3.

Jika gagal mendapatkan lesen, TRW terpaksa berkorban untuk bangkit membina semula pasukan membentuk struktur yang kukuh daripada aspek kewangan, barisan kejurulatihan dan pemain untuk kembali ke Liga Super dalam tempoh dua atau tiga tahun.

Penganalisis Sukan, Mohd Sadek Mustafa berkata, pasukan itu wajar bermula semula dari bawah, melainkan jika ada keajaiban berlaku transaksi suntikan dana dari mana-mana pihak untuk membantu TRW.

Beliau berkata, jumlah tersebut mungkin mencecah RM20 juta untuk satu musim, namun ia agak berat berbanding bersaing dalam kancah Liga M3 dengan kos yang tidak terlalu tinggi.

“Itu antara pilihan yang ada buat Kelantan FC. Andai dapat lesen boleh kekal beraksi di Liga Super, namun kos yang diperlukan adalah besar berbanding bermain di Liga M3 dengan bajet yang tidak membebankan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akhir bulan lalu mengesahkan sudah menerima dokumen pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Kelantan FC.

Dokumen berkenaan akan diteliti dan disemak oleh badan bebas pelesenan kelab Liga Malaysia, First Instance Body (FIB) terlebih dulu.

Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam menjelaskan, usaha membina wajah baharu Kelantan FC boleh dibuat menerusi konsortium yang mungkin terajui golongan diraja bersama sektor korporat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi menggerakkan usaha itu, pengurusan kelab memerlukan modal dan ia boleh diperoleh menerusi pengumpulan dana hasil perkongsian saham, simpanan tetap menerusi akaun luar pesisir dan sistem francais.

Tambahnya, proses tersebut melalui beberapa fasa dalam tempoh pendek hingga jangka panjang, malah ia perlu bergerak seiring antara pembentukan pasukan dan pengumpulan dana seterusnya membina pendapatan buat kelab.

“Ia melibatkan tempoh 36 bulan, 48 bulan dan 60 bulan sehingga 20 ke 40 tahun. Ini satu langkah pandang ke depan yang panjang bukan lagi fokus dua atau tiga tahun. Bukan lagi bercerita dapat hasil daripada jualan jersi dan tiket.

“Tetapi lebih besar daripada itu melibatkan kerajaan negeri dan sektor industri yang hebat seperti pelancongan, perhotelan dan hartanah.

“Kita perlu berbicara soal makro, malah melibatkan rangkaian antarabangsa dan negara jiran. Ramai orang Kelantan yang bukan sahaja berjaya di Kelantan tetapi di merata tempat termasuk di luar negara seperti United Kingdom,” katanya.

Menurut Mohd Sadek, usaha itu tampak sukar dan sulit, namun tidak mustahil mampu direalisasikan menerusi kerja keras, perancangan teliti dan sokongan pelbagai pihak.

“Ketepikan soal politik dan buang perasaan cah keting, tetapi fokus serta bersatu untuk membangunkan bola sepak, sosial ekonomi rakyat dan kemajuan negeri,” katanya.

Sukan Sinar pada Sabtu melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan FC, Ahmad Muzakkir Hamid melihat golongan diraja mampu menjadi penyelamat TRW sama ada melalui cara pemilikan atau apa juga cara yang boleh dibincangkan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!