Luqman mungkin beraksi bersama kelab lain musim depan

Luqman Hakim bercakap kepada pemberita sebelum berlepas dari KLIA ke Shanghai, China hari ini untuk aksi persahabatan antarabangsa. - Foto Bernama
Luqman Hakim bercakap kepada pemberita sebelum berlepas dari KLIA ke Shanghai, China hari ini untuk aksi persahabatan antarabangsa. - Foto Bernama
A
A
A

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak menolak kemungkinan akan beraksi bersama kelab lain musim depan secara pinjaman.

Menurut Luqman Hakim, dia masih lagi beraksi bersama KV Kortrijk dan mempunyai kontrak setahun bersama kelab Belgium itu.

“Perancangan saya sekarang ini, sebelum ini ke Iceland dan selepas kelayakan Piala Asia B-23 saya terus pulang ke Kortrijk. Sekarang ini saya masih bermain bersama mereka.

"Perancangan saya masih bersama Kortrijk, tetapi insya-ALLAH pada bulan Januari nanti mungkin ada perubahan.

"Saya tengah fikirkan dan belum buat keputusan.

"Saya masih ada satu musim bersama Kortrijk dan ada masa lagi untuk saya dipinjamkan," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Shanghai, China bersama skuad Harimau Muda pada Khamis.

Sebelum ini, Luqman Hakim mendapat perhatian dengan aksi memukau ketika menjadi pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan berjaya beraksi di Eropah bersama Kortrijk.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kelantan itu yang pernah dinobatkan sebagai penyerang muda terbaik apabila muncul penjaring terbanyak di Piala Asia B-17, pada 2018 dan tersenarai dalam 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian sedang meniti kesukaran selepas gagal mendapatkan minit permainan secukupnya di Belgium.

Artikel Berkaitan:

Dia juga telah dipinjamkan ke kelab Iceland, Njardvik dan selepas berakhir tempoh pinjaman itu, dia terus gagal mendapat peluang beraksi bersama pasukan utama Kortrijk.

Dalam pada itu, Luqman Hakim juga mengakui pasukan B-23 berada pada landasan persiapan terbaik dan perlawanan berdepan pasukan China adalah satu pendedahan yang bagus.

"Persiapan yang bagus sebelum ke Piala Asia sebab kita akan lawan China.

'Semua pemain faham apa jurulatih mahukan dan faham taktikal yang akan digunakan nanti," katanya.

Skuad muda negara akan mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa tier dua menentang China B-23 di Shanghai pada Sabtu dan Selasa.

Ia sebagai rangka persiapan untuk aksi Piala Asia apabila mereka diundi dalam Kumpulan D dan akan membuka saingan bertemu Uzbekistan pada 17 April, Vietnam (20 April) sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Kuwait (23 April).