Sabah rampas kedudukan ketiga Liga Super

Pemain Sabah FC, Saddil Ramdani cuba melepasi kawalan pemain Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas. - Foto Bernama
Pemain Sabah FC, Saddil Ramdani cuba melepasi kawalan pemain Kedah Darul Aman FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas. - Foto Bernama
A
A
A

SABAH FC berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga pasukan teratas Liga Super 2023 apabila memintas Kedah Darul Aman (KDA) FC pada saat akhir selepas merakam kemenangan 2-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini.

Gandingan pemain tengah, Mohamad Irfan Fazail dan penyerang import Ramon Machado menjadi mimpi ngeri pasukan pelawat apabila masing-masing menjaringkan gol di separuh masa pertama untuk membantu skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee meraih kemenangan berharga.

Tiga mata dikutip Sang Badak pada aksi terakhir musim ini menyaksikan mereka mengumpul keseluruhan 54 mata di kedudukan ketiga sementara KDA FC terpaksa berpuas hati menamatkan kempen di tempat keempat dengan 53 mata.

Pada masa sama, naib juara Selangor FC mengakhiri musim dengan bergaya apabila mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut selepas mengatasi PDRM FC 3-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Skuad Gergasi Merah kendalian Tan Cheng Hoe selesa mendahului 2-0 pada babak pertama selepas pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim menyempurnakan penalti pada minit ke-37 sebelum Brendan Gan menggandakan kedudukan pada minit ke-44.

PDRM merapatkan kedudukan menerusi Fadi Awad yang melepaskan rembatan deras dari jarak dekat pada minit ke-71, namun penyerang gantian Selangor Richmond Boakye ‘membunuh’ perlawanan selepas meledak gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-88.

Naib juara merupakan pencapaian memberangsangkan buat Cheng Hoe pada musim penuh pertamanya membimbing Selangor selepas dilantik sebagai ketua jurulatih pada September tahun lepas.

Dalam pada itu, Terengganu FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila mudah menundukkan Perak FC 3-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Artikel Berkaitan:

Tiga gol skuad Sang Penyu masing-masing dijaringkan Ivan Mamut pada minit ketujuh, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob@Engku Azman (minit ke-17) dan pemain gantian Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-81.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Kuching City FC bangkit daripada ketinggalan hasil jaringan pembukaan Muhammad Shahrel Fikri Mohd Fauzi untuk memalukan Negeri Sembilan FC di laman sendiri 4-1.

Episod kebangkitan Kuching City bermula dengan gol penyamaan dijaringkan Bruno Dybal pada minit ke-44 diikuti jaringan Yuki Tanigawa dan Pedro Henrique masing-masing pada minit ke-47 dan minit ke-55 sebelum Dybal menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-73.

Sebagai rekod, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara musim ini yang juga gelaran ke-10 berturut-turut diraih skuad Harimau Selatan itu. - Bernama