Fatwakan kembali Amanat Haji Hadi sebagai sesat - Perwakilan Terengganu

Suhaimi
Suhaimi
A
A
A

KLANG - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) didesak supaya menyenaraikan semula 'Amanat Haji Hadi' dalam paparan senarai fahaman yang pernah diharamkan sebelum ini.

Gesaan itu dibuat perwakilan Terengganu, Datuk Seri Suhaimi Hashim ketika Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2023 di salah sebuah hotel di sini pada Sabtu.

"Sampai masanya kita mendesak semula supaya Jakim mengeluarkan balik fatwa pengharaman Amanat Haji Hadi yang telah dikeluarkan daripada laman web Jakim sejak sekian lama.

"Saya mengharapkan apabila kita mengambil alih balik kerajaan pada 2022 yang lalu (tindakan ini diambil).

"Kita mengusulkan perkara ini (desakan supaya keluarkan semula fatwa) kerana ia jelas telah diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa (amanat) itu adalah sesat dan bersalahan dengan ijmak ulama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Pidato Presiden sempena konvensyen berkenaan.

Mengulas lanjut, Suhaimi yang juga Bendahari Amanah Terengganu berkata, tindakan itu penting bagi membendung fahaman takfiri di negara ini.

"Di Terengganu lubuk musuh (fahaman takfiri) yang paling besar sekali kerana di sinilah bermulanya fahaman takfiri di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kefahaman takfiri di Malaysia perlu kita tangani dan tidak boleh kita pandang secara remeh, ringan kerana isu takfiri memerlukan tafsiran yang betul, memerlukan kefahaman yang betul," katanya

Media sebelum ini melaporkan fatwa Amanat Haji Hadi telah dipadam daripada senarai pengharamannya sejak 2021.

Amanat Haji Hadi merujuk kepada kenyataan yang pernah dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada April 1981 di Banggol Peradong, Terengganu yang mencetuskan pelbagai polemik.

Dalam pada itu, Suhaimi dalam perbahasan sama turut memohon supaya konvensyen meluluskan usul supaya menggugurkan perkataan Islam yang digunakan Pas.