Malaysia alu-alukan resolusi PBB mengenai Gaza, seru bantuan kemanusiaan

Sejak 7 Oktober, tentera Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza dan mengakibatkan 20,057 terbunuh dan 53,320 cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita. - Foto AP
Sejak 7 Oktober, tentera Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza dan mengakibatkan 20,057 terbunuh dan 53,320 cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita. - Foto AP
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengalu-alukan penerimaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bertajuk 'Memantau dan Meningkatkan Bantuan ke Gaza' yang diterima pakai pada 22 Disember di New York.

Resolusi berkenaan menyeru agar akses kepada bantuan kemanusiaan ke Gaza dipercepatkan, dijamin selamat dan diperluaskan serta mewujudkan suasana sesuai bagi menghentikan kekejaman.

Dalam hal ini, Malaysia menggesa semua pihak untuk mematuhi dan melaksanakan resolusi Majlis Keselamatan dan semua resolusi berkaitan mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki berdasarkan prinsip Piagam PBB.

"Malaysia mengulangi tuntutannya untuk gencatan senjata segera bagi membolehkan bantuan kemanusiaan selamat tiba dan tanpa halangan.

"Kekejaman terhadap rakyat Palestin adalah tidak wajar dan mesti dihentikan serta-merta. Jenayah tanpa henti yang dilakukan oleh rejim apartheid Israel tidak boleh berlanjutan tanpa dikenakan sebarang hukuman,” menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) pada Sabtu.

Resolusi PBB itu juga menyeru semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa dan dalam hal ini, mengecam semua serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam, keganasan dan dendam terhadap orang ramai.

Resolusi itu juga menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan dan memastikan akses kemanusiaan bagi menangani keperluan perubatan mereka.

Selain itu, Setiausaha Agung PBB juga diminta melaporkan pelaksanaan resolusi itu dalam laporan tetap kepada Majlis.

Artikel Berkaitan:

Malaysia mengulangi gesaannya bagi penyelesaian yang mampu bertahan untuk negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya. - Bernama