Mangsa tipu umrah mahu syarikat didakwa atas kesalahan jenayah

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kira-kira 150 mangsa penipuan pakej umrah anjuran sebuah syarikat pelancongan tempatan, sekali lagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mendakwa syarikat berkenaan atas kesalahan jenayah.

Mewakili mangsa, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, laporan polis telah dibuat dan kes sama yang berlaku pada Mac lepas itu telah dirujuk kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Malah, kes berkenaan yang membabitkan jumlah kerugian lebih RM1 juta juga telah dirujuk kepada Tribunal Tuntutan Pengguna yang akhirnya memihak kepada mangsa dan mengarahkan syarikat berkenaan memberi pampasan.

"Namun pihak syarikat masih berdegil dan tidak mahu menurut perintah award yang telah dikeluarkan Tribunal Tuntutan Pengguna itu dan kami menggesa KPDN untuk mengambil tindakan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika mewakili semua mangsa penipuan berkenaan menyerahkan surat aduan untuk tindakan lanjut.

Difahamkan kesemua mangsa telah membuat bayaran untuk pakej umrah di bawah syarikat itu, namun tiba hari untuk berangkat, mangsa dimaklumkan bahawa penerbangan dibatalkan atas pelbagai sebab.

Mangsa turut mendakwa diberikan pelbagai janji konon wang akan dipulangkan, ada juga dijanjikan jadual penerbangan lain, tetapi akhirnya tertipu, selain ada juga diberikan cek tunda yang akhirnya tidak dapat bayaran. - Bernama

Artikel Berkaitan: