Penanda aras baharu China-Malaysia

A
A
A

SAYA mewakili Kedutaan Besar Republik Rakyat China di Malaysia ingin menyampaikan salam Tahun Baru 2020 kepada semua kawan-kawan yang sentiasa memberi perhatian dan sokongan kepada hubungan China-Malaysia!

Pada tahun 2019, China telah menyambut ulang tahun ke-70 dengan suasana cukup meriah.

Ekonomi China telah melepasi dugaan daripada situasi kompleks dalam dan luar negara, serta terus meningkatkan dasar terbuka ke tahap lebih tinggi dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang bermutu tinggi.

Pencapaian ekonomi cemerlang itu telah menyuntik keyakinan dan momentum yang kuat kepada ekonomi dunia.

Sidang Pleno Sesi Ke-4 Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) yang dianjurkan pada hujung Oktober 2019 julung kalinya menyimpulkan kelebihan sistem sosialisme bersifat ciri-ciri China serta pencapaian bersejarah dalam perkembangan sistem pemerintahan negara, supaya model pemerintahan China didorong ke arah penginstitusian.

Dalam situasi kemerosotan ekonomi global, China memegang prinsip sama memperoleh keuntungan telah menganjurkan Forum Ke-2 ‘Satu Jalur Satu Jalan’ bagi Kerjasama Antarabangsa (BRF) dan Ekspo Import Antarabangsa China Ke-2.

Dengan usaha tersebut, China telah memberi sumbangan baharu dalam pembentukan ekonomi global yang lebih terbuka.

Dalam gelombang deglobalisasi serta kenaikan unilateralisme dan proteksionisme, China teguh menyokong multilateralisme dan menginisiatifkan konsep “Bersama-sama membina komuniti masa depan dikongsi untuk semua”.

Artikel Berkaitan:

Dengan usaha tersebut pula, China telah menyumbang kebijaksanaan China untuk menyelesaikan masalah defisit pemerintahan global.

Pada tahun 2019, hubungan China-Malaysia berkembang secara stabil dan semakin subur.

Kedua-dua negara telah meraikan Ulang Tahun Ke-45 Hubungan Diplomatik China-Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad melawat China untuk menghadiri Forum Ke-2 ‘Satu Jalur Satu Jalan’ bagi Kerjasama Antarabangsa (BRF) bersama dengan pemimpin negara China untuk mengeratkan hubungan dua hala.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia dilancarkan semula, kerajaan China meluluskan pengimportan durian sejuk beku dari Malaysia, jumlah perdagangan dua hala, jumlah pelancong China ke Malaysia serta pelajar pertukaran antara kedua-dua negara telah mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah.

Bidang kerjasama kedua-dua negara semakin diperluas, hal itu telah menguntungkan rakyat kedua-dua negara.

Kerjasama

Tahun 2020 dianggap sebagai penanda aras dalam sejarah China dan Malaysia.

Bagi pihak China, kami akan merealisasikan Matlamat Seratus Tahun yang pertama, membasmi kemiskinan dan membina masyarakat makmur secara menyeluruh sebelum hujung tahun 2020.

Pihak Malaysia pula akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), di samping menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2020, yang menarik perhatian seluruh dunia kepada Malaysia.

Selain itu, tahun 2020 merupakan Tahun Kebudayaan dan Pelancongan China-Malaysia dan kedua-dua pihak sedang merancang pelbagai aktiviti untuk mempertingkat kerjasama pragmatik serta pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.

Pihak China akan terus berganding bahu dengan pihak Malaysia berusaha untuk mencapai matlamat serta saling keuntungan dan perkembangan bersama.

Tirai tahun 2020 sudah terbuka. Memandang ke hadapan, kita akan masuk ke era data dan era pintar dan pemerintahan global dibentuk semula dengan pesat serta sejarah akan membuka lembaran baharu.

Saya juga berharap bahawa China dan Malaysia bersama dengan negara lain memegang pelita multilateralisme, menghilangkan jerebu unilateralisme, serta mencerahkan langit untuk keamanan dunia dan perkembangan bersama setiap negara.

* Bai Tian ialah Duta Besar China Ke Malaysia