Rakyat Britain di Malaysia rai pertabalan Raja Charles III

Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay (duduk, kanan) bersama rakyat Britain di sini ketika mereka menyertai berjuta-juta orang di seluruh dunia menyaksikan upacara pertabalan bersejarah Raja Charles III, pada Sabtu. - Foto Bernama
Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay (duduk, kanan) bersama rakyat Britain di sini ketika mereka menyertai berjuta-juta orang di seluruh dunia menyaksikan upacara pertabalan bersejarah Raja Charles III, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Britain di Malaysia menyertai berjuta-juta masyarakat di seluruh pelusuk dunia menyaksikan detik bersejarah upacara pertabalan Raja Charles III, pada Sabtu.

Dalam satu keraian di kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay, rakyat Britain berkongsi kegembiraan meraikan pertabalan pertama Raja Britain dalam tempoh 70 tahun.

"Tiada seorang pun daripada kami mengenali mana-mana raja selain Ratu Elizabeth dan kini kami mempunyai Raja baharu, jadi menyanyikan ‘God save the King’ ia adalah perasaan yang baharu dan sangat mengujakan,” kata Hay.

Beliau menegaskan bahawa istiadat pertabalan itu sangat bermakna apabila menggabungkan tradisi lama dan moden yang mencerminkan Raja Charles mengiktiraf kepelbagaian masyarakat Britain.

Beliau menambah semua anggota Komanwel menghantar wakil ketika pertabalan itu dan mencerminkan kepentingan Raja bersama Komanwel.

"Beliau adalah Ketua Komanwel, mengambil alih jawatan daripada mendiang Ratu Elizabeth dan saya fikir ia benar-benar sangat penting baginya.

"Baginda banyak menyentuh mengenai Komanwel, dan saya rasa kita akan lihat fokus sebenar kepada Komanwel di bawah pemerintahannya nanti,” katanya.

"Menyaksikan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke istiadat pertabalan Raja Charles di Westminster Abbey adalah sesuatu yang menggembirakan.

"Saya diberi peluang berada di Istana Buckingham pada Oktober lalu apabila Yang di-Pertuan Agong bertemu Raja Charles dan ia adalah kali pertama ketua negara asing bertemu baginda sejak pemakaman mendiang Ratu.

"Terdapat sejarah yang sangat panjang bukan sahaja antara Malaysia dan UK, tetapi antara kerabat diraja kita, jadi saya yakin itu akan berterusan pada masa hadapan,” katanya.

Majlis tontonan istiadat pertabalan itu dihadiri 80 tetamu termasuk 20 ketua perwakilan diplomatik di Malaysia.

Stephen Frenkt, seorang warga Britain yang telah menetap di Malaysia selama lebih 20 tahun, memberitahu Bernama bahawa beliau amat berbangga menyaksikan Raja Charles ditabalkan hari ini, sambil berkata beliau sangat menantikan pemerintahannya.

"Saya fikir Raja Charles akan terus menjadi kuasa yang kuat merentasi Komanwel, memberikan kestabilan, hala tuju dalam menyatukan semua negara di seluruh Komanwel, dan menjadi simbol keamanan dan harapan untuk semua negara. Itu sudah tentu,” katanya.

Ketua Persatuan St Andrews Selangor, Carol Wallace, berkata sebagai warga Britain yang menetap di Asia, beliau amat terharu melihat pelbagai bangsa dan budaya berkumpul dan meraikan istiadat pertabalan itu.

"Bagi saya ia sangat mengagumkan apabila anda melihat Charles sejak muda dan akhirnya menyaksikan Baginda ditabalkan sebagai Raja, ia adalah detik yang sangat menyentuh hati," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Komanwel Diraja Malaysia Tony Kassim berkata Malaysia dan United Kingdom telah menikmati hubungan dua hala yang lama dan rapat dan lembaran baharu kini bermula dengan pertabalan Raja Charles.

"Jadi kita menantikan kepimpinan baginda dalam bab baharu hubungan dua hala Malaysia-UK serta dalam Komanwel,” katanya.

Raja Charles, 74, menduduki takhta pada 8 Sept 2022, selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Baginda ditabalkan bersama Raja Permaisuri Camilla dalam istiadat pertabalan di Westminster Abbey, tapak pertabalan di Britain sejak 1066 - hampir satu milenium. - Bernama