Kerajaan peruntuk RM9.5 bilion gerakkan NIMP 2030

Anwar ketika berucap melancarkan NIMP 2030 di Menara MITI di sini pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Anwar ketika berucap melancarkan NIMP 2030 di Menara MITI di sini pada Jumaat. - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperuntukkan hampir RM9.5 bilion dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk memangkinkan pelaburan dan menggalakkan penyertaan pihak industri dalam menggerakkan pelan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited sepenuhnya untuk menyokong pelaksanaan NIMP 2030.

"Pelan ini dianggarkan memerlukan jumlah pelaburan sebanyak RM95 bilion sepanjang tujuh tahun (pelaksanaannya) terutamanya daripada sektor swasta yang digerakkan daripada ekuiti, modal dan pasaran kewangan swasta.

"Hampir 10 peratus akan diperuntukkan oleh kerajaan untuk membantu merangsang dan memberi insentif kepada pelaburan ini melalui Dana Pembangunan Perindustrian NIMP dan Dana Pelaburan Bersama Strategik NIMP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan NIMP 2030 di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Menteri Kewangan itu menjelaskan, apa paling penting ialah unjuran bahawa melalui campur tangan NIMP, gaji median bagi sektor perindustrian dijangka meningkat mencecah RM4,510.

Menurutnya, ia meningkat sebanyak 9.6 peratus berbanding gaji median RM1,976 ketika ini yang berada di bawah purata nasional walaupun sektor tersebut memainkan peranan dominan.

Artikel Berkaitan:

"NIMP 2030 menyasarkan untuk meningkatkan nilai tambah perindustrian kepada RM587.5 bilion menjelang 2030 iaitu meningkat sebanyak 6.5 peratus daripada apa yang ada pada hari ini.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 61 peratus, yang diperoleh oleh intervensi NIMP 2030 untuk sektor berimpak tinggi elektrik dan elektronik (E&E, kimia, kenderaan elektrik (EV), aeroangkasa, farmaseutikal dan bahan termaju seperti mineral dan logam," ujarnya.

Dari segi guna tenaga pula, Anwar memberitahu, unjuran pertumbuhan pada 2.3 peratus daripada 2023 dijangka menyediakan peluang pekerjaan kepada 3.3 juta orang menjelang 2030.

"Trajektori pekerjaan yang semakin meningkat dalam industri ini adalah disebabkan oleh penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi seiring kemajuan negara ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan peningkatan dalam automasi dan kemajuan teknologi," jelasnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul pada sidang akhbar berkata, sebahagian daripada peruntukan kerajaan bagi pelaksanaan NIMP akan diumumkan semasa pembentangan Bajet 2024 nanti.

"Setengah peruntukan lagi telah diperuntukkan sebelum ini dan kita akan beri pencerahan (mengenai perkara ini) dalam masa terdekat ini," kata beliau.