Kerajaan perlu tegakkan hak asasi migran - Majlis Peguam

Karen - Foto Malaysian Bar Council.
Karen - Foto Malaysian Bar Council.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Peguam meminta kerajaan untuk melaksanakan cadangan daripada laporan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing 2019 yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) sebagai bukti kesungguhan dalam menegakkan hak asasi terhadap golongan migran tanpa mengira status.

Presidennya, Karen Cheah Yee Lynn berkata, antara cadangan tersebut adalah menubuhkan satu jawatankuasa yang bertanggungjawab merumuskan dasar berkaitan pendatang, termasuk pekerja migran berdokumen atau tiada dokumen, golongan ekspatriat, pasangan asing dan pelajar.

Menurutnya, hal ini kerana golongan berkenaan menjadi pemacu ekonomi terkuat di negara-negara destinasi, termasuk Malaysia sebagai pekerja dan pelajar dengan membawa masuk banyak pengetahuan, pengalaman serta kemahiran.

“Selain itu, menggubal undang-undang untuk meningkatkan penalti terhadap majikan yang sengaja mengambil pekerja asing tanpa dokumen dan mewujudkan sistem teratur bagi mengawal status atau hak orang tanpa kewarganegaraan, pelarian serta pencari suaka.

“Cabaran dihadapi pendatang terutamanya yang tidak berdokumen atau dalam pekerjaan berkemahiran rendah dan separa mahir semakin memuncak semasa pandemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun selepas pandemik, mereka terus menghadapi eksploitasi untuk mengakses kemudahan asas termasuklah sekatan pergerakan atau perkhidmatan penjagaan kesihatan berpatutan, pengekalan pasport, tidak dibayar gaji serta penganiayaan di tempat kerja,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian bersempena Hari Migran Antarabangsa yang disambut pada 18 Disember lalu dengan tema ‘Mempromosikan Migrasi Selamat’ bagi mencapai matlamat memerangi ‘xenofobia’ iaitu kebencian terhadap orang asing.

Karen turut memaklumkan, sehingga 2022, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatatkan kira-kira 2.2 juta pekerja asing mempunyai dokumen berdaftar dan bilangan tidak rasmi pendatang tanpa dokumen dianggarkan antara 1.2 hingga 3.5 juta, menjadikan ia salah satu negara penerima migran terbesar di Asia Tenggara.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau lagi, pihaknya ambil maklum usaha Kerajaan Perpaduan baru-baru ini seperti melakukan rombakan kabinet yang melibatkan pertukaran Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Menteri serta mengisytiharkan laporan Jawatankuasa bebas Pengurusan Pekerja Asing 2019.

“Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan memastikan bahawa pendatang diperlakukan dengan bermaruah serta diberi hak asasi ketika berada di Malaysia.

“Sudah tiba masanya untuk kita mengiktiraf sumbangan migran kepada ekonomi negara dan menangani segala cabaran yang mereka hadapi dengan berkesan,” ujar Karen.