Kerajaan jamin selesai isu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan tiada penempatan

Anwar berucap pada Sesi Temu Anwar di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar berucap pada Sesi Temu Anwar di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan hari ini memberi jaminan akan menyelesaikan isu lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang belum mempunyai penempatan di sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan supaya mengisi kekosongan guru pada tahun depan.

"Insya-Allah kita selesaikan... Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dah umumkan bahawa (terdapat) penambahan yang ketara bagi mengisi kekosongan guru pada 2024.

"... yang penting ialah pada tahun 2024, kali pertama ada lonjakan penambahan guru di sekolah menengah di negara kita,” katanya pada sesi Temu Anwar Dialog Mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai laporan media sebelum ini berkaitan isu sejumlah 4,390 lepasan ISMP dari 2011 hingga 2020 yang belum mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah.

Anwar juga berkata, beliau telah meminta Naib Canselor dan pihak universiti di seluruh negara mengawal penuntut masing-masing supaya tidak menyalah guna kebebasan akademik yang diberikan kepada mereka sehingga taksub kepada fahaman melampau.

"Apa yang saya bimbang hanya satu aspek iaitu penularan fahaman, ketaksuban yang menggila... hal-hal ini yang kita harus kawal... kawal untuk menyelamatkan negara ini kerana ketaksuban akan memecahbelahkan rakyat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata hutang negara yang terlalu tinggi menjadi antara faktor hasrat kerajaan terdahulu agar mahasiswa golongan M40 menerima pembiayaan penuh Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak dapat diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, cadangan itu boleh dipertimbang namun ia bergantung kepada kemampuan kewangan negara.

"Insya-Allah saya akan minta (Menteri Pendidikan Tinggi) saudara (Datuk Seri Dr) Zambry (Abdul Kadir) lihat betul-betul dengan PTPTN dan bawa balik kepada Kementerian Kewangan... dan dalam suku tahun pertama, kalau betul kita mampu, saya akan tambah terutama bagi M40 yang memerlukan.

"Jadi saya nak anak-anak faham, insya-Allah saya terima baik cadangan itu dan saya akan teliti... jika ada keupayaan, insya-Allah saya akan lakukan," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!