Geely bakal bina universiti di Tanjung Malim

Saarani ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Perak pada Sabtu. - Foto Pejabat MB Perak
Saarani ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Perak pada Sabtu. - Foto Pejabat MB Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak sudah menerima cadangan daripada syarikat kenderaan terkemuka China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) bagi membina sebuah universiti di Tanjung Malim.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, hasrat tersebut dikemukakan sendiri oleh pengurusan kanan syarikat berkenaan pada minggu lalu.

Menurutnya, cadangan tersebut merupakan perancangan masa depan selain pelaburan bernilai RM32 bilion yang akan dibawa masuk ke Tanjung Malim menerusi Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

"Di China setiap perusahaan ada satu universiti, jadi Perak akan ada satu universiti. Universiti itu nanti akan melatih melahirkan bakat-bakat muda dalam bidang TVET dan teknologi automotif.

"Mereka minta kita menyediakan tempat. Kita pun sudah mencadangkan tempat kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Perak di sini pada Sabtu.

Saarani (duduk, kanan) ketika sidang media selepas menyempurnakan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Perak pada Sabtu. - Foto Pejabat MB Perak
Saarani (duduk, kanan) ketika sidang media selepas menyempurnakan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Perak pada Sabtu. - Foto Pejabat MB Perak

Saarani berkata, menerusi kewujudan Universiti Geely itu kelak, akan ada beberapa lagi pembinaan bangunan dan institusi lain yang berkaitan dengan institusi pendidikan tersebut.

Menurutnya, Geely juga berhasrat untuk mempunyai peluang pelaburan penting di Asia Tenggara dan Perak dipilih menjadi sebagai hab.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu juga, beliau menggesa anak muda di Perak mempersiapkan diri mengambil peluang terhadap pelaburan yang dibawa oleh Geely.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti lokasi bagi mewujudkan kawasan perindustrian berteknologi tinggi di Kerian.

Saarani (kanan) beramah mesra bersama Ahli Dewan Belia Negeri Perak sempena Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Perak pada Sabtu. - Foto Pejabat MB Perak
Saarani (kanan) beramah mesra bersama Ahli Dewan Belia Negeri Perak sempena Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Negeri Perak pada Sabtu. - Foto Pejabat MB Perak

Menurutnya, PLANMalaysia telah bersetuju dengan cadangan lokasi berkenaan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak juga telah meluluskan serta menghantar cadangan itu ke Kementerian Ekonomi untuk diteliti.

Bagaimanapun jelasnya, lokasi sebenar tidak akan didedahkan kepada umum kerana dibimbangi menyebabkan spekulasi harga tanah.