Muda yakin tiada polarisasi di Kelantan

Tuan Ibrahim sebelum ini mendakwa pilihan raya PBT akan membuka ruang berlakunya polarisasi kaum yang lebih besar dan ketara antara penduduk bandar dan luar bandar.
Tuan Ibrahim sebelum ini mendakwa pilihan raya PBT akan membuka ruang berlakunya polarisasi kaum yang lebih besar dan ketara antara penduduk bandar dan luar bandar.
A
A
A

KOTA BHARU - Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan kaedah terbaik memilih ketua di peringkat komuniti setempat berbanding arahan oleh 'tangan ghaib'.

Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Kelantan, Abdul Rahman Khairuddin yakin Kelantan tidak akan terkesan dengan polarisasi kaum jika berlaku pilihan raya PBT seperti yang didakwa Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Abdul Rahman
Abdul Rahman

Menurut beliau, perpaduan di Kelantan tidak memberi peluang kepada DAP untuk membuat perubahan itu.

"Selain komuniti yang saling mengenali antara mereka dan ketua melalui proses demokratik, ia turut memberi peluang kepada masyarakat setempat mengetahui amalan sebenar demokrasi serta fungsi ketua komuniti," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Abdul Rahman turut mencadangkan Tuan Ibrahim menggunakan pengaruh beliau sebagai Timbalan Presiden Pas dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang supaya dua negeri itu menjadi peneraju dalam pelaksanaan pilihan raya PBT.

Jelas beliau, pilihan raya PBT boleh diperluaskan bukan sahaja di bandar malah di kawasan kampung.

"Saya bersetuju jika pilihan raya ketua kampung dilaksanakan bertujuan membuktikan akauntibiliti dalam masa sama mendidik masyarakat setempat dalam proses melantik ketua mereka.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu adalah lebih baik jika langkah proaktif ini diambil kerajaan negeri bagi memastikan representasi lebih adil dan merealisasikan 'kerajaan rakyat' di peringkat kampung," katanya.

Jelas Abdul Rahman, Muda bersedia menjadi pemudah cara supaya inisiatif itu berjalan dengan baik.

Tuan Ibrahim melalui kenyataan pada Khamis memaklumkan kebimbangan beliau bahawa pilihan raya PBT membuka ruang berlaku polarisasi kaum yang lebih besar dan ketara antara penduduk bandar dan luar bandar.

Cadangan mengenai pilihan raya PBT itu disuarakan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai pada 17 Disember lalu.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduk memilih ahli majlis tempatan.