Pakai semula pelitup muka jika lima strategi tidak berkesan

Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan ramai jika lima strategi diperkenalkan KKM dalam menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 kurang berkesan.
Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan ramai jika lima strategi diperkenalkan KKM dalam menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 kurang berkesan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan ramai jika lima strategi diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menghadapi peningkatan mendadak kes Covid-19 kurang berkesan.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah tersebut perlu diambil jika Malaysia masih mencatatkan peningkatan kes walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.

Menurutnya, strategi yang diperkenalkan oleh KKM merupakan satu tindakan pantas dalam membendung penularan wabak itu, namun kerajaan perlu mempunyai pendekatan lain jika usaha berkenaan tidak berhasil.

“Walaupun strategi berkenaan telah pun dipraktikkan tetapi kita mendapati kes Covid-19 terus meningkat maka saya mencadangkan kepada kerajaan untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan ramai.

“Ini merupakan salah satu cara yang saya rasa berkesan untuk mengelakkan penularan Covid-19. Apabila kita berada tempat awam, risiko untuk dijangkiti dan menjangkiti adalah tinggi,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, KKM mengumumkan lima strategi utama di bawah Pelan Pengurusan Covid-19 dalam menghadapi peningkatan mendadak kes COVID-19.

Antaranya, pengesanan awal kes Covid-19 dan varian SARS-CoV-2, pemerkasaan komuniti melalui amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek), pemantauan fasiliti kesihatan, pengurusan dan kawalan kes Covid-19 terutamanya untuk melindungi golongan berisiko tinggi.

Seterusnya, pemerkasaan komuniti melalui komunikasi risiko yang berkesan dan pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik melalui aplikasi MySejahtera.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Lam Thye turut berkongsi empat saranan lain yang boleh orang ramai amalkan untuk mengekang penularan Covid-19 antaranya meningkatkan kekuatan daya tahan tubuh badan.

Katanya, apabila seseorang mempunyai imunisasi tubuh yang kuat maka sukar untuk mereka dijangkiti virus tersebut.

“Menyedari peningkatan kes yang semakin tinggi, kita perlu mendisiplinkan diri dengan mematuhi segala saranan daripada pihak berkuasa seperti membuat pemeriksaan kesihatan jika mempunyai gejala.

“Kemudian, kita juga hendaklah sentiasa berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling. Sentiasa memakai pelitup muka jika berada di kawasan tumpuan ramai dan kumpulan sasar yang mempunyai imun rendah digalakkan untuk mengambil vaksin,” ujarnya.