Mahkamah perlu perjelas isu kecacatan perintah pelepasan Najib - Pejuang

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memohon Mahkamah Tinggi di sini memberikan penjelasan dakwaan isu kecacatan dalam perintah pelepasan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Muhammad Rafique Rashid Ali yang juga seorang peguam berkata, penjelasan daripada Pejabat Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selaku pihak yang mengeluarkan dokumen berkenaan penting bagi memastikan kekeliruan yang timbul tidak berlarutan.
Beliau berkata, isu penyediaan dokumen mahkamah itu kini hangat diperkatakan pelbagai pihak, termasuk pengamal undang-undang dan masyarakat awam.
Katanya, selepas perintah pelepasan itu tersebar di media sosial pada Isnin, pelbagai persoalan dibangkitkan berhubung penggunaan istilah, struktur ayat serta ketepatan nama yang tertera pada dokumen berkenaan.
“Ramai yang mula menandakan dokumen itu dengan warna kuning, membulatkan bahagian tertentu dengan warna merah, mempertikaikan nama dan susunan ayat, malah mempersoalkan kewujudan perintah berkenaan.
“Pihak yang sepatutnya tampil memberikan penjelasan ialah mahkamah atau Bahagian Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga kes pecah amanah, tiga pengubahan wang haram serta satu salah guna kedudukan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.
Najib menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022.
Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda sebanyak RM50 juta.
Walaupun telah membayar denda berkenaan di Pejabat Pendaftar Jenayah Mahkamah Tinggi pada Jumaat minggu lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu kembali semula ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Agong.
Sehingga kini, pihak media masih menunggu maklum balas Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) berhubung isu berkenaan.
Sebelum ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menyentuh soal ketelitian penyediaan dokumen rasmi itu dengan menyatakan kecacatan pada perintah pelepasan berkenaan sepatutnya tidak berlaku.
Katanya, penelitian sewajarnya terhadap dokumen tersebut mampu mengelakkan pertikaian, khususnya berkaitan ketepatan penggunaan istilah undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

