Yayasan Felda perkukuh usaha lahirkan kepimpinan digital global

Ahmad Shabery (depan, tengah) yang diiringi Mohd Banuri (depan kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Yayasan Felda di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada Selasa.
Ahmad Shabery (depan, tengah) yang diiringi Mohd Banuri (depan kanan) menyempurnakan gimik perasmian Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Yayasan Felda di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan Felda terus memperkukuhkan usaha mereka dalam melahirkan kepimpinan digital global apabila menerima dua pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Rekod itu dilakar atas pencapaian dan sumbangan sebagai ‘The Largest Schools Participation In An Interactive Robotic Learning’ menerusi ‘Program Felda Digital Maker Hub: Coding & Robotic’ (FDMH) dan ‘The Largest Community Contribution’ bagi Program Skim Bantuan Kasih Felda.

Pengurus Besar Yayasan Felda, Datuk Mohd Banuri Aris berkata, usaha yang digerakkan Yayasan Felda itu demi kelestarian dan memberi pendedahan kepada anak-anak peneroka untuk berjinak-jinak serta mempelopori digital atau teknologi maklumat (IT).

Mohd Banuri (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Felda, Izyani Abdul Rahim (tiga dari kanan) memegang sijil MBOR yang diterima disaksikan Ahmad Shabery (tengah) sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Yayasan Felda pada Selasa.
Mohd Banuri (tiga dari kiri) dan Timbalan Pengurus Besar Yayasan Felda, Izyani Abdul Rahim (tiga dari kanan) memegang sijil MBOR yang diterima disaksikan Ahmad Shabery (tengah) sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Yayasan Felda pada Selasa.

Menurutnya, ia sekali gus dapat meningkatkan potensi dan daya saing warga belia serta melahirkan generasi Felda yang terdidik dan kompeten untuk manfaat pembangunan negara.

“Felda dan Yayasan Felda menyediakan landskap pendidikan digital dalam kalangan murid sekolah kebangsaan di kawasan tanah rancangan menerusi FDMH.

“Yayasan Felda telah berjaya mendapatkan penajaan bagi setiap sekolah sebanyak 85 buah sekolah,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima sijil pengiktirafan MBOR sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Yayasan Felda di Dewan Perdana Felda di sini pada Selasa.

Sijil MBOR itu diserahkan wakil MBOR, Siti Hajar Johor dengan disaksikan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Banuri menjelaskan, menerusi inisiatif FDMH, Yayasan Felda turut membantu menaik taraf kelab IT sekolah dan memberi pendedahan digital lebih luas kepada guru-guru sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Tambahnya, Skim Bantuan Kasih Felda pula merupakan program kebajikan Yayasan Felda terhadap komuniti yang tinggal berdekatan kawasan tanah rancangan mereka.

“Kita membaiki rumah rosak, memasang pendawaian elektrik, membaiki saluran paip dan tandas untuk komuniti Malaysia yang memerlukan.

“Setakat ini sebanyak 8,053 buah rumah telah mendapat manfaat daripada program ini,” tambahnya.

Beliau berkata, inisiatif tersebut dapat memperkasa dan menggalakkan kerja-kerja amal, kemasyarakatan serta kebajikan selaras dengan visi dan misi Felda iaitu untuk peningkatan ekonomi, sosial dan kebudayan warisan negara.

“Secara keseluruhannya dua rekod yang dicipta ini merupakan pencapaian ketiga dan keempat kita dalam MBOR,” ujarnya.