Covid-19: Jangan panik, terus berhati-hati - PPPKAM

Masyarakat ketika ini diseru meneruskan amalan pemakaian pelitup muka serta penggunaan pensanitasi tangan, terutamanya semasa dan selepas menghadiri majlis keraian. - Gambar hiasan
Masyarakat ketika ini diseru meneruskan amalan pemakaian pelitup muka serta penggunaan pensanitasi tangan, terutamanya semasa dan selepas menghadiri majlis keraian. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat umum diseru supaya tidak panik dan terus mengamalkan langkah berhati-hati susulan peningkatan kes Covid-19 di negara ini.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof Dr Jamaluddin Ab Rahman berkata, negara kini lebih maju dalam menerajui perihal Covid-19 berbanding tahun-tahun permulaan dan oleh yang demikian, fasiliti kesihatan lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita dah belajar banyak perkara pada 2020 semasa Covid-19 melanda negara termasuk dalam kesiapsiagaan menghadapi pandemik.

"Saya yakin keupayaan hospital (dan lain-lain fasiliti kesihatan) sekarang berbeza berbanding dulu dan sektor kesihatan lebih bersedia," katanya ketika menjadi tetamu program Reaksi: Peningkatan Kes Covid-19 terbitan Bernama Radio pada Selasa.

Beliau berkata, apa yang boleh dilakukan masyarakat ketika ini adalah sentiasa berwaspada dan meneruskan amalan pemakaian pelitup muka serta penggunaan pensanitasi tangan, terutamanya semasa dan selepas menghadiri majlis keraian.

Dr Jamaluddin turut mencadangkan agar kerajaan melatih pakar dalam pembuatan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan kebergantungan terhadap vaksin import.

"Ini penting sebagai pelan jangka masa panjang kerana dengan keupayaan membuat vaksin sendiri, kita boleh mengatasi masalah bekalan vaksin tidak cukup di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan bahawa Kementerian Kesihatan masih dalam proses perolehan bekalan vaksin Pfizer generasi terbaharu.

Artikel Berkaitan:

Kes Covid-19 dilaporkan meningkat 62.2 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu pada 10-16 Dis lepas dengan 20,696 kes, berbanding 12,757 kes pada ME49.

Bagaimanapun majoriti kes atau kira-kira 97 peratus merupakan kategori satu (tiada gejala) dan dua (gejala ringan), dengan sebanyak 28 kes kematian dilaporkan. - Bernama