Nilai kembali cadangan bina memorial peringatan watak anime

Ahmad Azlan
Ahmad Azlan
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang disaran menilai kembali cadangan untuk membina memorial peringatan watak Kento Nanami dalam siri anime popular Jepun, Jujutsu Kaisen di daerah ini.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, sebaliknya cuba memperkasa produk pelancongan sedia ada yang kurang dipasarkan bagi menarik pelancong ke negeri ini.

"Saya melihat YB (Yang Berhormat) Exco Perpaduan Pelancongan dan Kebudayaan Pahang (Leong Yu Man) daripada DAP sudah ketandusan idea sehingga sanggup melontar cadangan ini.

"Saya kira ini merupakan idea terdesak daripada beliau untuk memberikan satu nilai tambah kepada produk pelancongan di negeri Pahang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu Pahang terkenal dengan sejarah dan banyak tempat menarik yang boleh diangkat sebagai produk pelancongan negeri.

Menurutnya, pihak kerajaan juga boleh menonjolkan sejarah dan kebudayaan Pahang dengan lebih kehadapan sebagai penarik kepada pelancong luar negeri mahupun dalam negeri untuk bercuti di negeri ini.

"Semoga sektor pelancongan di Pahang ini akan terus berkembang sekali gus menjadi antara penyumbang hasil kepada ekonomi masyarakat setempat dan membantu ekonomi Negeri untuk terus bertumbuh dari masa ke masa," jelasnya.

Pada 14 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan kerajaan Pahang melalui Tourism Malaysia sedang menunggu maklum balas daripada pencipta watak Kento Nanami berhubung beberapa cadangan termasuk membina tugu peringatan bagi watak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Yu Man berkata, cadangan terbabit telah dikemukakan wakil Tourism Malaysia Tokyo diwakili Timbalan Pengarahnya, Ahmad Junaidy Yahaya dan Presiden Pemaja (Alumni Program Persahabatan Asean-Jepun abad ke-21) Datuk Sahariman Hamdan dalam sesi pertemuan dengan penerbit siri anime berkenaan di Jepun pada 11 November lalu.