Pahang tunggu jawapan pencipta watak Kento Nanami

Yu Man, Laporan Sinar Harian
Yu Man, Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Pahang melalui Tourism Malaysia sedang menunggu maklum balas daripada pencipta watak Kento Nanami dalam siri anime Jujutsu Kaisen berhubung beberapa cadangan termasuk membina tugu peringatan bagi watak tersebut.

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata, cadangan terbabit telah dikemukakan wakil Tourism Malaysia Tokyo diwakili Timbalan Pengarahnya, Ahmad Junaidy Yahaya dan Presiden Pemaja (Alumni Program Persahabatan Asean-Jepun abad ke-21) Datuk Sahariman Hamdan dalam sesi pertemuan dengan penerbit siri anime berkenaan di Jepun pada Isnin.

Menurutnya, penerbit anime terbabit meminta tempoh untuk berhubung dengan pencipta anime yang hanya dikenali sebagai Gege Akutami sebelum mendapat kebenaran bagi membantu mempromosikan pelancongan di negeri ini.

"Pihak penerbit (siri anime) perlukan masa seminggu untuk beliau berhubung dengan pencipta sebelum memberikan persetujuan. Kami juga dimaklumkan bahawa pencipta itu jarang muncul di khalayak ramai dan hanya penerbit boleh menghubunginya.

"Jadi, kita perlu kebenaran (daripada) pencipta kerana ini (watak Kento Nanami) adalah hak cipta beliau. Kita kena hormati hak cipta dan kita perlukan endorsement daripadanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Pemandu Bot pelancong dan Malim Gunung 2023 daerah Kuantan di pejabat Tourism Pahang pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang itu memaklumkan, kerajaan Pahang berhasrat mahu menjemput penciptanya melawat Pahang, khususnya di Kuantan.

Sehubungan itu, beliau berharap maklum balas positif dapat diperolehi daripada pencipta anime tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kami ingin menjemputnya melawat Pahang dan menganjurkan program dengan pengikut industri anime berkenaan," katanya.

Sebelum ini, nama Kuantan 'trending' di media sosial selepas disebut dalam sebuah anime Jepun popular, Jujutsu Kaisen dan turut menarik perhatian Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 6 Disember lalu.

Dalam episod ke-42 itu, watak dalam anime itu, Kento Nanami menyebut dia ingin melawat pantai di Kuantan, Malaysia sebelum kematiannya.

Setakat ini, ramai peminat anime itu meneka pantai yang dimaksudkan itu di Pantai Kempadang berbanding beberapa pantai lain yang popular iaitu pantai Teluk Cempedak, Batu Hitam, Cherating dan Sepat.