Pelajar maut dilanggar: Pegawai kanan polis dituduh di bawah kesalahan membunuh

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pegawai kanan polis yang terlibat dalam insiden kematian seorang pelajar akibat dilanggar dan diseret kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru, Ipoh, Perak akan dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 atas kesalahan membunuh.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, suspek akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak pada Isnin.

Kenyataan Jabatan Peguam Negara.
Kenyataan Jabatan Peguam Negara.

Menurut kenyataan itu, Mahkamah Majistret kemudiannya akan menetapkan tarikh untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tujuan perbicaraan.

"Setelah membuat penelitian ke atas hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan, jabatan ini mendapati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi bagi suatu kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap suspek," kata kenyataan itu pada Ahad.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan seorang pegawai kanan pasukannya berusia 44 tahun berhubung kes kematian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

@sinarharianonline Pegawai kanan polis dituduh bawah kesalahan membunuh #fyp#beritaditiktok#Ipoh#Meru#PDRM#Membunuh#Seksyen302 Military Tension - Steve Ralph

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor memberi jaminan siasatan berhubung kes kemalangan membabitkan pelajar lelaki tersebut dijalankan secara telus dan adil.

Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan berkenaan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Kes kemalangan maut itu mendapat perhatian ramai susulan tular di media sosial.

Difahamkan, kejadian itu berlaku selepas suspek yang memandu kereta Perodua Ativa dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuat bunyi bising ekzos.