Jaminan IGP kendurkan rasa sakit hati orang ramai

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KISAH pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang maut akibat dilanggar dan diseret kereta dipandu seorang pegawai kanan polis di Ipoh, Perak menjadi perhatian rakyat Malaysia ketika ini.

Maklumat awal mendapati pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh diperlakukan sedemikian disebabkan pegawai berpangkat Deputi Superintenden itu tidak berpuas hati dengan bunyi ekzos yang kuat daripada motosikal ditunggang mangsa.

Ketika ini pihak polis sedang giat menjalankan siasatan selepas pegawai polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu sudah ditahan dan direman.

Melihat kepada maklum balas di media sosial, ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan melulu pegawai polis berkenaan, malah ada yang bimbang kemungkinan wujud unsur berat sebelah dalam siasatan.

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.

Namun, dengan jaminan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa pihaknya akan menjalankan siasatan secara telus dan adil, sedikit sebanyak mengendurkan rasa sakit hati masyarakat.

Razarudin sendiri menegaskan bahawa polis tidak akan menyorok ‘bawah karpet’ kes berkenaan, sekali gus menyangkal firasat orang ramai yang mengatakan pegawai polis berkenaan mempunyai ‘kabel’ yang kuat dan boleh dilepaskan daripada sebarang tuduhan.

Beliau turut berharap agar orang ramai dapat memberi ruang kepada pihak polis melakukan siasatan kes kemalangan maut tersebut.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun polis juga akan melihat kepada keperluan siasatan di bawah lain-lain seksyen bersesuaian dengan kesalahan apabila siasatan lengkap kelak.

Tidak dinafikan, ramai yang berharap agar pesalah dalam kejadian ini menerima hukuman setimpal, namun ruang juga perlulah diberikan kepada pihak polis untuk melakukan tugas mereka. Yakinlah bahawa undang-undang di negara ini adil.

Namun begitu, kejadian ini perlu dijadikan iktibar buat semua. Satu perkara yang harus kita semua belajar daripada insiden menyayat hati ini ialah mengawal perasaan marah supaya tidak melakukan sesuatu di luar jangkauan.

Hanya kerana melayan perasaan marah, bukan sahaja nyawa Zaharif yang melayang, malah memberi kesan emosi jangka panjang terhadap keluarga Allahyarham.