PM bukan Melayu: Pinda Perlembagaan jadikan Malaysia negara aparteid

Hassan
Hassan
A
A
A

PASIR GUDANG - Cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membataskan Perdana Menteri kepada orang Melayu-Islam sahaja tidak boleh dibuat secara sesuka hati hanya kerana mahu menjaga kepentingan golongan tertentu.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ini kerana peruntukan dalam perlembagaan sedia ada sudah menjamin hak dan kedudukan istimewa orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak termasuk juga kepentingan kaum lain.

"Sebagai pengamal undang-undang dan juga ahli Parlimen, saya melihat perlembagaan sekarang sudah dilengkapkan dengan mekanisme yang cukup untuk menjaga kepentingan rakyat Melayu di Semenanjung dan rakyat pribumi di Sabah dan Sarawak.

"Memang benar menurut Perlembagaan Persekutuan bahawa orang bukan Melayu dan bukan Islam juga boleh menjadi Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a), tetapi realiti politik dan jumlah penduduk majoriti negara ini ialah bangsa Melayu.

"Maka daripada segi kesesuaian politik sebenar jawatan Perdana Menteri akan sentiasa disandang oleh orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Khatan Perdana anjuran Pejabat Parlimen Pasir Gudang di Masjid Bandar Permas Jaya di sini pada Ahad.

Pada Khamis, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.

Kenyataan Ahli Parlimen Machang itu dibuat selepas veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menegaskan tiada sekatan dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membolehkan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, saranan tersebut adalah tidak wajar dan lebih kepada mengapi-apikan keadaan selain tidak memahami konsep sebenar Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hassan berkata, jika Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya ada peruntukan bahawa hanya orang Melayu yang boleh jadi Perdana Menteri, maka akan menimbulkan sekurang-kurangnya dua masalah.

Pertama katanya, peruntukan seperti itu akan menjadikan Malaysia sebuah negara aparteid seperti di Afrika Selatan ketika diperintah oleh golongan kaum minoriti kulit putih.

"Dasar aparteid juga dilaksanakan rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin. Kita tentu tidak mahu Malaysia jadi negara aparteid.

"Kesan kedua ialah akan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua rakyat Malaysia sama rata di sisi undang-undang," katanya.

Tambah Hassan, orang Melayu tidak perlu bimbang tentang kedudukan Islam, kedudukan raja-raja Melayu dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Isu kewarganegaraan dan kedudukan istimewa orang Melayu di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan semuanya dinyatakan dengan jelas bahawa perkara-perkara tersebut tidak boleh dipinda oleh Parlimen tanpa persetujuan dari Majlis Raja-Raja Melayu," katanya.

Jelas beliau, Malaysia ditadbir menurut sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen dengan menetapkan kuasa penting di bawah Yang di-Pertuan Agong serta kuasa Majlis Raja-Raja Melayu.

"Kuasa-kuasa itu tidak boleh diganggu dan dicabar oleh Perdana Menteri. Jadi jaminan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup kuat untuk melindungi kepentingan orang Melayu," ujar beliau.