'Isu Perdana Menteri bukan Melayu sengaja dimainkan' - Mat Sabu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu membidas pihak yang sengaja memainkan sentimen orang bukan Melayu boleh diangkat sebagai Perdana Menteri di negara ini.

Tegasnya, perkara itu sengaja dibangkitkan untuk mewujudkan persepsi negatif.

"Itu dalam Perlembagaan (orang Bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri). Orang Melayu masih majoriti, kenapa hendak bincang hal itu.

"Ia sengaja dimainkan untuk lahirkan persepsi, orang Melayu semakin ramai, beranak banyak, Cina tak mahu beranak, itu sengaja dimainkan untuk memerangkap minda rakyat supaya Perikatan Nasional (PN) yang (akan) menyelamatkan kedudukan orang Melayu," katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di salah sebuah pusat acara di Bangsar, di sini pada Sabtu.

Isu Perdana Menteri Malaysia bukan orang Melayu kembali bergema apabila veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menimbulkannya ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia dekat Manchester, United Kingdom (UK) pada 29 November lalu.

Susulan itu, pada Khamis, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membataskan Perdana Menteri kepada orang Melayu-Islam sahaja adalah tidak wajar, dan lebih kepada mengapi-apikan keadaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang misi beliau pada pemilihan Amanah 2023, Mohamad berkata, usaha beliau adalah mahu menangkis bahawa kedudukan orang Melayu-Islam semakin terancam di negara ini.

"Sebagai presiden utama, apa yang hendak saya lawan ialah berkaitan masalah yang disebut sebagai Melayu dan Islam terancam.

"Ini merupakan satu sentimen yang dimainkan, yang tidak berfakta langsung dan (malangnya) ia dipercayai oleh orang Melayu, bukan hanya anak muda, orang-orang lama di negeri Melayu," katanya.

Susulan sentimen itu, Mohamad percaya partinya mengalami kekalahan teruk terutama di negeri yang majoriti Melayu pada pilihan raya umum yang lalu.

"Negeri Melayu yang tinggi peratusnya, kita mengalami kekalahan yang teruk tetapi sementara sahaja, kita ada masa empat tahun untuk menerangkan kembali kepada rakyat tentang perkara ini," katanya lagi.