Malaysia, Jepun galak kerjasama dalam penyiaran, ICT

Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun, Fumio Kishida dalam lawatan kerja lima hari. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun, Fumio Kishida dalam lawatan kerja lima hari. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan Jepun akan menggalakkan kerjasama dalam sektor penyiaran dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun Fumio Kishida dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu.

Ini termasuk ICT untuk pengurusan bencana; pembangunan dan penggunaan rangkaian 5G yang terbuka, selamat dan berdaya tahan serta teknologi rangkaian yang inovatif untuk masa hadapan; keselamatan siber; Internet Kebendaan (IoT); bandar pintar; pengkomputeran awan; ekonomi digital dan pembuatan pintar.

"Kedua-dua pemimpin berkongsi hasrat mereka untuk bekerjasama dalam keselamatan ekonomi termasuk mengukuhkan ketahanan rantaian bekalan, sambil mengiktiraf kepentingan rantaian bekalan yang telus, pelbagai, selamat, mampan dan boleh dipercayai di rantau ini dan seterusnya dengan memastikan produktiviti dan kesalinghubungan serta meminimumkan risiko kepada gangguan rantaian bekalan masa depan," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan selepas pertemuan dua hala mereka di Tokyo.

Anwar dan Kishida berkongsi pandangan bahawa walaupun Jepun merupakan kuasa ekonomi utama dan telah mencapai kejayaan luar biasa dalam bidang seperti pembuatan, teknologi dan inovasi, Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang kewangan Islam, industri halal dan kepelbagaian budaya.

Dengan latar belakang itu, kedua-dua pemimpin mengakui kekuatan negara masing-masing dan mengesahkan hasrat mereka untuk berkongsi kepakaran berkenaan untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi bersama.

"Kedua-dua pemimpin mengakui bahawa kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran halal global telah membolehkan syarikat dari kedua-dua negara memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk dan perkhidmatan halal di peringkat global dan bersetuju dalam mempromosikan kerjasama dua hala dalam bidang ini," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga menekankan kepentingan sains, teknologi dan inovasi yang akan membawa kepada pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan.

Anwar dan Kishida turut mengesahkan sokongan berterusan mereka, khususnya untuk Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), hab pendidikan kejuruteraan gaya Jepun di rantau ASEAN.

Artikel Berkaitan:

"Dalam hal ini, mereka menyambut baik penubuhan Pejabat Hubungan Malaysia-Jepun di MJIIT bagi mengukuhkan sinergi strategik kerjasama itu," menurut kenyataan berkenaan.

Mengenai keamanan dan keselamatan, kedua-dua pemimpin mengesahkan keperluan untuk berkongsi pandangan strategik antara kedua-dua negara dan memutuskan untuk mengadakan Dialog Strategik dengan tujuan untuk menangani cabaran serantau dan antarabangsa dengan lebih berkesan.

Kedua-dua pemimpin memutuskan untuk meneruskan dialog antara pihak berkuasa pertahanan kedua-dua negara serta menggalakkan lagi latihan dan pertukaran antara tentera Jepun dan tentera Malaysia.

"Mereka juga bersetuju untuk menggalakkan kerjasama konkrit di bawah perjanjian mengenai Pemindahan Peralatan dan Teknologi Pertahanan serta menyambut baik kerjasama yang dilaksanakan dalam pembinaan kapasiti dalam bidang Bantuan Kemanusiaan/Bantuan Bencana (HA/DR)," menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga mengalu-alukan penandatanganan bantuan geran Pertukaran Nota bagi Bantuan Rasmi Keselamatan (OSA) untuk manfaat angkatan tentera Malaysia dan menyatakan hasrat untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara Pengawal Pantai Jepun dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Mengenai masyarakat, budaya dan pertukaran sesama rakyat, Anwar dan Kishida mengesahkan semula bahawa menggalakkan pertukaran antara kedua-dua negara akan membina ikatan yang lebih kukuh antara rakyat, meningkatkan persefahaman bersama dan membawa kepada penghargaan yang lebih mendalam untuk budaya masing-masing.

Kedua-dua pemimpin juga menyambut baik kemajuan luar biasa yang dicapai di bawah Dasar Pandang Ke Timur yang menyambut ulang tahun ke-40 pada 2022, terutamanya dalam memupuk hubungan dua hala yang lebih kukuh melangkaui perdagangan, pelaburan dan pembangunan sosioekonomi.

"Perdana Menteri Kishida mengalu-alukan sumbangan syarikat-syarikat Malaysia dalam meningkatkan pertukaran pelancongan antara kedua-dua negara yang mempercepat pemulihan industri pelancongan," menurut kenyataan itu.

Sebagai kesimpulan, Anwar dan Kishida bersetuju untuk menghidupkan semula perundingan dua hala di peringkat wakil menteri luar untuk membincangkan pelbagai isu secara menyeluruh.

Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua pemimpin mengesahkan komitmen mereka untuk memperluas dan memperdalam lagi kerjasama antara kedua-dua negara melalui Perkongsian Strategik Komprehensif. - Bernama