Kerajaan Madani stabil, Anwar beri jaminan kepada pelabur Jepun

Anwar ketika persidangan meja bulat dengan ketua-ketua industri di Tokyo. Foto: Bernama
Anwar ketika persidangan meja bulat dengan ketua-ketua industri di Tokyo. Foto: Bernama
A
A
A

TOKYO - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kepada pelabur Jepun bahawa walaupun kerajaan Madani hanya baru berusia setahun, ia stabil, dengan dasar yang sangat jelas untuk memacu pertumbuhan Malaysia.

Beliau berkata demikian pada persidangan meja bulat dengan ketua-ketua industri di Tokyo, selepas sesi pertemuan bersemuka dengan tiga syarikat utama Jepun.

"Kami telah memikirkan cara bagaimana untuk menangani peralihan tenaga, termasuk tenaga boleh baharu di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu yang menggariskan apa yang ingin kami capai dan misi kami," katanya.

Anwar berkata, Malaysia juga sedang menumpukan kepada transformasi digital.

"Saya di sini untuk mendengar pandangan anda, tentang perkara yang perlu dilakukan untuk memudahkan atau mempercepatkan proses libat urus dan pelaburan," katanya.

Anwar, yang sedang dalam rangka lawatan selama lima hari ke Jepun berkata beliau kagum dengan sokongan yang ditunjukkan terhadap Malaysia semasa sesi persidangan meja bulat itu yang disertai 25 syarikat.

Antara peserta yang menyertainya termasuklah Masaya Hasegawa, pengasas Shinzen Energy; Kunio Yamada, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Rohto Pharmaceutical; Hidehiro Yokoo, pegawai eksekutif kanan Denso Corporation; Takeshi Saito, presiden ENEOS Holdings dan Nobuhiko Murakami, pengerusi Toyota Tsusho Corporation.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan eksekutif kanan tiga syarikat multinasional utama Jepun iaitu ROHM WAKO Co. Ltd, yang diketuai pengerusinya Datuk Yoshioka Yosuke; NEC Co. Ltd oleh naib presiden kanan Matsuki Toshiya dan Mitsui & Co oleh presiden dan ketua pegawai eksekutifnya Kenichi Hori.

Artikel Berkaitan:

Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan.

Semasa pertemuan itu, beliau memberi jaminan kepada para peserta bahawa masih ada banyak peluang yang tersedia bagi pelabur Jepun di Malaysia.

Sementara itu, Tengku Zafrul, dalam ucapan perasmiannya semasa persidangan meja bulat berkata acara tersebut menekankan komitmen Malaysia untuk meletakkan asas yang lebih kukuh bagi hubungan ekonomi dan dua hala pada masa depan.

Beliau juga memaklumkan mengenai penubuhan Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia (IMFC) yang memulakan operasinya pada 1 Disember lepas sebagai pusat sehenti untuk pelabur menjalankan perniagaan di Malaysia.

Sementara itu, Anwar berterima kasih kepada Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (JAMECA) kerana membantu mengatur mesyuarat dan sesi persidangan meja bulat hari ini yang memberi peluang kepada ketua-ketua industri Jepun untuk berinteraksi secara langsung dengan beliau.

Jepun telah menjadi rakan dagang keempat terbesar Malaysia sejak 2015.

Pada 2022, perdagangan Malaysia dengan Jepun bernilai RM181.51 bilion (AS$41.21 bilion) atau 6.4 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan negara.

Setakat Jun 2023, sejumlah 2,778 projek oleh syarikat Jepun telah dilaksanakan di Malaysia dengan pelaburan berjumlah RM91.89 bilion (AS$27.43 bilion).

Sementara itu, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) semasa pertemuan bersemuka dengan ROHM Wako, syarikat itu menjelaskan bahawa pemudahan terutamanya daripada MITI dan MIDA untuk memastikan bekalan air bersih yang stabil adalah penting bagi pengeluaran komponen semikonduktor mereka pada masa hadapan

ROHM Wako yang ditubuhkan pada 1990 telah menjadi pelabur terbesar menghasilkan proses pembuatan semikonduktor mengkhususkan dalam aktiviti berkaitan reka bentuk di negeri Kelantan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri tersebut.

Sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangannya, ROHM Wako komited untuk menyediakan peluang pekerjaan serta membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Pada masa ini, syarikat itu telah menggaji lebih 2200 rakyat Malaysia yang majoritinya adalah anak Kelantan.

Rohm Wako akan terus meneroka peluang pelaburan pada masa depan untuk menghasilkan komponen semikonduktor menggunakan 100 peratus tenaga boleh baharu ke arah matlamat pelepasan karbon sifar bersih.

Dua syarikat lain dalam pertemuan bersemuka itu, NEC Co Ltd dan Mitsui & Co turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia pada masa depan.

Sementara itu, Tengku Zafrul menerusi ciapannya di laman sosial X beliau berkata pertemuan bersemuka antara perdana menteri dengan ROHM Wako itu adalah bukti bahawa kerajaan komited dalam memajukan Kelantan.

"Siapa pernah dengar nama ROHM Wako? ROHM Wako adalah pelabur terbesar sektor semikonduktor di Kelantan dengan kilang di Pengkalan Chepa. Majoriti pekerjanya juga terdiri daripada anak Kelantan.

"Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), kerajaan menyasarkan pembangunan perindustrian yang inklusif, supaya setiap negeri turut merasai nikmat pembangunan yang seimbang.

"Sehubungan itu, perdana menteri telah mengadakan sesi bersemuka bersama pengurusan tertinggi ROHM Wako di Tokyo bagi meyakinkan mereka untuk terus melabur di Kelantan," katanya.

Beliau berkata MITI dan MIDA akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri untuk memudahcara pelaburan masuk ke Kelantan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!