Alasan kawal fitnah tidak boleh diterima - Ahmad Fadhli

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu. Tangkap layar hantaran Ahmad Fadhli Shaari menerusi Facebook pada Sabtu.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu. Tangkap layar hantaran Ahmad Fadhli Shaari menerusi Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mendakwa alasan kerajaan yang meminta syarikat induk Facebook, Meta dan TikTok dari China untuk menyekat kandungan di platform itu bagi mengawal fitnah langsung tidak boleh diterima.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sekiranya penyebar fitnah tersebut benar didapati melakukan kesalahan, siasatan dan pendakwaan perlu dibuat menurut peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, kerajaan kini paling takut dengan Facebook dan TikTok berbanding pimpinan Perdana Menteri sebelum ini.

“Kandungan yang disekat kebanyakannya mengkritik dan bukan berhubung isu-isu keselamatan serta melibatkan kepentingan bersama masyarakat.

“Ini adalah satu perkara yang sangat memalukan. Bayangkan bagaimana syarikat antarabangsa boleh keluarkan laporan bahawa antara Januari dan Jun tahun ini, kira-kira 3,100 halaman serta siaran Facebook dihadkan daripada pengguna di Malaysia.

“Ia didakwa melanggar undang-undang tempatan. Angka ini enam kali lebih tinggi berbanding tempoh setengah tahun sebelumnya dan tertinggi sejak syarikat tersebut mula melaporkan sekatan kandungan di Malaysia pada 2017,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, syarikat antarabangsa itu akui menerima peningkatan permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk mengalih keluar kandungan atau menyekat akaun di platform berkenaan bagi tempoh enam bulan pertama 2023.

Berdasarkan laporan Meta, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkuasa pada November 2022, berdepan tuduhan memungkiri janji untuk melindungi kebebasan bersuara menerusi kandungan dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menegaskan ia mahu mengekang hantaran berunsur provokasi yang menyentuh isu perkauman, agama dan kerabat diraja.

Tambah Ahmad Fadhli, Anwar sering mendabik dada bahawa pentadbiran beliau reformasi bahkan kalimah ini yang dilaung setiap kali perjumpaan parti komponen Pakatan Harapan (PH) namun ia hanya retorik untuk sedapkan telinga.